KUALA LUMPUR 26 Mei – Synergy ESCO, anak syarikat tempatan milik Unity Group Holdings International Ltd (Unity) yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong, melancarkan ESG Light pertama di dunia yang diperakui untuk kelayakan kredit karbon, sekali gus meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam inovasi teknologi hijau bertaraf global.
Dilancarkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Persidangan Ekosistem Kredit Karbon dan ESG 2025, ESG Light merupakan inovasi pencahayaan cekap tenaga yang hanya menggunakan 4.5 watt dan menawarkan jangka hayat sehingga 180,000 jam (bersamaan 40 tahun dengan penggunaan purata 12 jam sehari), memberikan penjimatan penggunaan tenaga sehingga 89%.
Dengan ketahanan jangka panjang dan kecekapan tenaga yang tinggi, teknologi ini berperanan penting dalam pasaran karbon, sekali gus membolehkan syarikat dan pemaju mengurangkan pelepasan karbon serta menjana kredit karbon menerusi pengurangan pelepasan yang terbukti dan boleh disahkan.
“ESG Light bukan sekadar produk pencahayaan, ia kini menjadi alat kewangan yang berupaya memacu pembangunan mampan dengan impak yang boleh diukur,” kata Mansfield Wong, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group Holdings International Ltd.
Majlis turut menyaksikan pelancaran awal Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kelestarian Unity-UPM yang bertujuan mempercepatkan penyelidikan dalam teknologi pengurangan karbon dan amalan lestari.
ESG Light turut diperkenalkan dalam sektor pertanian digital menerusi inisiatif penyelidikan antara Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kelestarian Unity-UPM dan Shine Plus Group Sdn Bhd.
Menerusi kerjasama ini, teknologi tersebut akan diguna pakai dalam sistem pertanian digital pintar Shine Plus bagi mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 70%, meningkatkan hasil tanaman sebanyak 10 kali ganda, serta menyokong pematuhan ESG dengan keupayaan menjejak karbon dalam sistem rantaian makanan.
Selain itu, Unity turut menyasarkan pengurangan sebanyak 25 juta tan karbon dioksida (CO₂) di Malaysia melalui penggunaan ESG Light dan pelaksanaan program komuniti Green One Day, yang merupakan sebahagian daripada strategi bersepadu di bawah Inisiatif Hijau Kerajaan Negeri Selangor, merangkumi lebih 6,000 hartanah strata di Selangor.
Selain itu, acara ini turut menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka daripada pelbagai sektor kerajaan, industri dan komuniti pemacu ESG untuk berkongsi pandangan mengenai pembiayaan mampan, integrasi ESG serta pembangunan yang sejajar dengan matlamat iklim negara.
Antara panel yang hadir, Datuk Dr Tan Yew Chong; Penasihat kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi, Dr Nor Hanizan bin Sahib; Ketua Bahagian Pembangunan Operasi LPHS, Mansfield Wong; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group, CC Loh; Pengurus Kanan Hartanah Mah Sing Group Bhd dan Zhang Enjun; Ketua Pegawai Eksekutif Beijing Xinghua CPA Firm.

Menerusi sesi tersebut, barisan panel menegaskan keperluan mendesak untuk memperkasa penggunaan teknologi hijau berskala besar yang seiring dengan sasaran pengurangan karbon negara dan kerangka pembiayaan mampan.
Sementara itu, Pusat R&D Unity-UPM dijangka berperanan sebagai hab inovasi utama, memfokuskan kepada teknologi pengurangan karbon, integrasi tenaga hijau dan pertanian pintar berasaskan sistem ukuran ESG.
Dengan kehadiran lebih 200 peserta, acara ini memperlihatkan komitmen kolektif ke arah peralihan daripada naratif pemanasan global kepada tindakan penyejukan global serta kesedaran kepada pelaburan.
Unity merancang untuk membuat penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia bagi meningkatkan kecairan, penilaian syarikat dan bilangan pelabur, selaras dengan pengembangan perkhidmatannya dalam pengurusan tenaga di Malaysia. - DagangNews.com








