KUALA LUMPUR 29 Okt – 3D Energi Limited, sebuah syarikat sekutu kepada Hibiscus Petroleum Berhad akan memulakan penggerudian di telaga baharu Sabtu ini dalam usaha syarikat mengenal pasti rizab gas asli berdaya komersial bagi membantu membekalkan pasaran gas di Pantai Timur Australia.
Hibiscus dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkongsi maklumat yang didedahkan 3D Energi kepada Bursa Saham Australia, mengesahkan pelantar penggerudian Transocean Equinox telah memulakan proses mobilisasi dari Bass Strait menuju ke Essington Prospect.
Essington Prospect terletak kira-kira 55 kilometer dari pesisir pantai Port Campbell, Australia.
"Projek tersebut akan dijalankan di perairan sedalam kira-kira 100 meter dan berjarak sekitar 10 kilometer di sebelah barat penemuan gas Geographe-1. Aktiviti penggerudian dijadualkan bermula pada atau sekitar 1 November 2025," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, telaga eksplorasi Essington-1 direka untuk menguji beberapa takungan bertindih yang mempunyai penunjuk hidrokarbon langsung, termasuk takungan Waarre A sebagai sasaran utama dan Waarre C sebagai sasaran sekunder.
Proses penggerudian dijangka mengambil masa 32 hari untuk mencapai kedalaman maksimum (total depth), tertakluk kepada keadaan operasi semasa.
Projek Offshore Exploration and Development Program (OEDP) ini dilaksanakan melalui usaha sama antara ConocoPhillips Australia (51% kepentingan), Korean National Oil Company (KNOC) (29% kepentingan), dan 3D Energi Limited sebagai syarikat sekutu Hibiscus Petroleum.
Projek ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh keselamatan tenaga rantau ini serta menyokong permintaan gas domestik yang semakin meningkat.
Telaga Essington-1 menyasarkan sumber prospektif kasar sebanyak 262 bilion kaki padu (Bcf) daripada dua takungan utama, iaitu Waarre C dan Waarre A:
* Takungan Waarre C – Menyasarkan anomali amplitud pada kedalaman 2,240 meter TVDSS, dengan sumber prospektif kasar 76 Bcf dan kebarangkalian kejayaan (CoS) 76%.
* Takungan Waarre A (sasaran utama) – Terletak pada kedalaman kira-kira 2,470 meter TVDSS, dengan sumber prospektif kasar 186 Bcf dan CoS sebanyak 68%. Isyarat seismik mendatar yang jelas (seismic flat spot) menunjukkan petunjuk kukuh terhadap kehadiran gas. - DagangNews.com








