Syarikat Sabah, Life Water catat untung bersih RM30 juta FY2025, umum dividen interim RM7.52 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat Sabah, Life Water catat untung bersih RM30 juta FY2025, umum dividen interim RM7.52 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Life Water Berhad mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM30 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025), disokong pertumbuhan hasil yang stabil, kecekapan kos dan pengembangan operasi strategik.

 

Bagi FY2025, syarikat mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 3.86% kepada RM172.97 juta berbanding RM166.53 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian berjumlah RM0.95 juta, keuntungan bersih terlaras meningkat 10.14% kepada RM30.97 juta berbanding RM28.12 juta sebelumnya, dengan margin keuntungan bersih bertambah kepada 17.91% daripada 16.89%.

 

Pada suku keempat FY2025 (Q4FY2025), Life Water merekodkan hasil RM44.55 juta dengan keuntungan selepas cukai (PAT) RM9.05 juta, bersamaan margin PAT 20.32%.

 

Syarikat turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak RM0.0159 sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM7.52 juta bagi FY2025.

 

Pengarah Urusan Life Water, Liaw Hen Kong berkata prestasi tahun ini mencerminkan keupayaan syarikat meningkatkan kecekapan operasi sambil mengekalkan ketahanan pasaran domestik.

 

Tambahnya, pengeluaran daripada barisan baharu di Sandakan dan kilang di Keningau akan memperkukuh kapasiti memenuhi permintaan, di samping pelancaran awal minuman berkarbonat berperisa sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian produk.

 

“FY2025 adalah tahun bermakna kerana kami berjaya mengukuhkan kehadiran jenama, memperluas portfolio serta meningkatkan keuntungan. Fokus kami pada FY2026 adalah mengembangkan bahagian pasaran dalam segmen minuman nilai tambah, di samping mengurus kos dan modal dengan berdisiplin,” katanya.

 

Life Water kekal komited memperluas rangkaian pengedaran, mengoptimumkan keupayaan logistik dan meneroka kategori minuman baharu sejajar dengan perubahan cita rasa pengguna. - DagangNews.com