KUALA LUMPUR 20 Jan – Guan Huat Seng Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan positif bagi suku pertama berakhir 31 Oktober 2025 (1QFY26) dengan pendapatan sebanyak RM20.14 juta.
Syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Januari 2026 itu merekodkan keuntungan bersih RM1.51 juta pada tempoh tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GHS Holdings berkata ia mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.06 juta, yang meningkat kepada RM2.21 juta selepas pelarasan perbelanjaan penyenaraian yang bersifat sekali sahaja.
“Kos jualan bagi suku pertama ini berjumlah RM14.97 juta, menghasilkan keuntungan kasar RM5.18 juta.
“Perbelanjaan pentadbiran dan pengedaran masing-masing ialah RM2.29 juta dan RM0.37 juta, manakala kerugian penurunan nilai aset kewangan berjumlah RM0.2 juta.
“Syarikat merekodkan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM213,000 berikutan pembayaran cukai berjumlah RM673,000 dan penerimaan balik cukai RM49,000,” katanya.
Jumlah aset GHS Holdings meningkat sedikit kepada RM72.29 juta pada 31 Oktober 2025 berbanding RM71.72 juta pada 31 Julai 2025.
ARTIKEL BERKAITAN: IPO Guan Huat Seng terlebih langgan 4.78 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE
Aset semasa meningkat kepada RM34.28 juta dengan inventori dan baki tunai yang kukuh.
Dari segi ekuiti, syarikat mencatat jumlah RM44.10 juta, meningkat daripada RM42.58 juta pada akhir Julai 2025. Perubahan ini disumbangkan terutamanya oleh penggabungan anak syarikat melalui penerbitan saham baharu berjumlah 353.5 juta unit sebelum penyenaraian awam.
Segmen operasi GHS Holdings terbahagi kepada pengedaran produk makanan dan peruncitan makanan.
Bagi suku pertama, pengedaran produk makanan menyumbang RM18.27 juta manakala peruncitan makanan menyumbang RM1.87 juta kepada jumlah pendapatan.
Pendapatan jualan syarikat juga berasaskan geografi, dengan jualan tempatan sebanyak RM16.98 juta dan eksport RM3.16 juta merangkumi pasaran seperti Hong Kong, Korea, Singapura, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Filipina dan negara lain.
GHS Holdings tidak mencatat sebarang item luar biasa, perubahan anggaran material, atau liabiliti bersyarat bagi tempoh kewangan ini. Syarikat juga tidak mengisytiharkan dividen bagi suku pertama 2025 dan tiada transaksi berkaitan pihak berkaitan yang signifikan dilaporkan.
Syarikat kini bersedia untuk menyempurnakan tawaran awam awal (IPO) yang diumumkan pada 5 Januari 2026, dengan 473.5 juta saham disenaraikan dan berharap dapat menarik pelabur serta memperkukuh kedudukan syarikat di pasaran modal Malaysia. - DagangNews.com








