Suruhanjaya Kredit Pengguna berperanan kawal selia pemberi kredit bukan bank termasuk skim beli sekarang bayar kemudian, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suruhanjaya Kredit Pengguna berperanan kawal selia pemberi kredit bukan bank termasuk skim beli sekarang bayar kemudian, Parlimen diberitahu

KUALA LUMPUR 9 Sept - Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan mengawal selia perniagaan pemberi kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit, termasuk skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL).

 

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata SKP telah ditubuhkan di bawah Akta Kredit Pengguna 2025 (CCA), susulan kelulusan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 yang baru diluluskan di Dewan Negara.

 

“Di bawah CCA, penyedia kredit diwajibkan mematuhi keperluan amalan bertanggungjawab, termasuk penilaian kemampuan hutang peminjam,” kata Lim semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Senator Tiew Way Keng, yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan untuk mengawal selia perkhidmatan BNPL secepat mungkin, bagi mengelakkan orang ramai, khususnya golongan belia, daripada terjerumus dalam perangkap hutang yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

 

Lim turut memaklumkan bahawa SKP akan melaksanakan sistem pengurusan aduan bagi memastikan penyedia dan pengendali perkhidmatan kredit di bawah seliaannya mengendalikan aduan secara berkesan.

 

Beliau menambah bahawa Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan terus memantau industri BNPL, serta meneliti isu-isu berkaitan buat sementara waktu. - DagangNews.com