KUALA LUMPUR 22 Jan – Pengendali pelabuhan berpangkalan di Sabah, Suria Capital Holdings Bhd melantik bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif baharu syarikat itu, berkuat kuasa 21 Januari 2026.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Suria Capital berkata, Abdul Rahman menggantikan Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego, yang meletakkan jawatan pada hari yang sama bagi meneruskan kepentingan lain.
Faisyal telah menerajui lembaga pengarah syarikat sejak November 2020.
Abdul Rahman, 61, pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal dari 2008 hingga 2018. Beliau juga pernah memegang jawatan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2013 hingga 2016, sebelum dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia Unit Perancang Ekonomi dari 2016 hingga 2018.
Menurut Suria Capital, Abdul Rahman turut pernah memegang jawatan pengerusi di Sabah Oil & Gas Development Corp Sdn Bhd, Universiti Malaysia Sabah dan Seeds Capital Group, dengan pengalaman luas merangkumi pembangunan infrastruktur, sektor berkaitan tenaga serta aktiviti perdagangan antarabangsa.
Suria Capital mengendalikan lapan pelabuhan di seluruh Sabah, terdiri daripada Sapangar Bay Container Port, Sapangar Bay Oil Terminal, Pelabuhan Kota Kinabalu, Pelabuhan Kudat, Pelabuhan Sandakan, Pelabuhan Lahad Datu, Pelabuhan Kunak dan Pelabuhan Tawau. - DagangNews.com








