KUALA LUMPUR 21 Nov - Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak desakan supaya beliau memecat setiausaha politiknya yang terpalit kontroversi berhubung surat sokongan kepada kontraktor yang membida projek hospital.
Menurut Perdana Menteri, dalam menangani situasi itu, soal tahap keseriusan kesalahan juga perlu diambil kira.
“Saya faham dari mana datangnya pandangan itu, tetapi kita perlu melihat kepada tahap keseriusan kesalahan.
“Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh beliau (setiausaha politik), tetapi kita perlu tanya sama ada projek itu diberi berdasarkan surat tersebut… jawapannya tidak.
“Jadi, kita sudah menegur beliau… kita tidak boleh mendesak untuk mengambil tindakan keras hanya kerana kita tidak bersetuju dengan seseorang. Kita perlu konsisten.
“Saya telah menggunakan kata-kata tegas kepada pegawai saya supaya menjadi pengajaran kepada yang lain juga,” katanya lapor akhbar hari ini.
Perdana menteri berkata demikian kepada wartawan dalam pesawat sewaan khas Malaysia Airlines yang membawanya ke Afrika Selatan selepas lawatan rasmi beliau ke Addis Ababa semalam.
Anwar berada di ibu negara Ethiopia itu atas jemputan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali, yang melawat Kuala Lumpur tahun lalu.
Beliau mengulas gesaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mahu Perdana Menteri mengambil tindakan lebih tegas daripada sekadar menegur, iaitu dengan memecat setiausaha politik tersebut.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata tindakan sedemikian akan memberi isyarat jelas tentang komitmen perdana menteri dalam memerangi rasuah.
“Itu yang sepatutnya berlaku. Jangan tegur. Pecat sahaja,” kata Rafizi dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya.
Pada Selasa, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa setiausaha politiknya telah ditegur berhubung isu itu, dan peraturan kerajaan melarang pengeluaran surat sokongan sedemikian.
Anwar berkata, beliau sendiri hanya boleh menulis catatan “sila teliti” walaupun pada surat yang dialamatkan kepadanya, dan kontrak boleh disemak tetapi tidak boleh diberi sokongan automatik.
Rafizi bagaimanapun berkata jawapan Anwar tidak cukup “umph”, memandangkan surat tersebut didedahkan sejak tahun lalu dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, telah mengesahkan keasliannya.
Berhubung gesaan Rafizi supaya setiausaha politik berkenaan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut, Anwar berkata:
“Surat itu bukan arahan. Kamu dengar orang bercakap tentang rasuah… satu dua kes kecil, tetapi mereka berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan kawan atau penaja mereka.
“Bagi saya, ini lebih serius. Saya tiada simpati terhadap mereka yang melarikan berbilion ringgit. Kamu tutup mata terhadap kes-kes besar tetapi angkat isu kecil… betul, ia tidak boleh dibiarkan, tetapi tidak seharusnya diletakkan pada tahap yang sama dengan berbilion ringgit yang dicuri.”
Ditanya sama ada amaran tegas sudah mencukupi, Anwar berkata pengkritik sepatutnya konsisten dalam memilih isu untuk diketengahkan.
“Mereka mesti konsisten… kamu tidak mengetengahkan kes-kes rasuah besar melibatkan VIP, tetapi kamu kejar isu kecil hanya untuk popular,” ujar Perdana Menteri. - DagangNews.com








