Tahun 2025 menandakan era penting bagi Malaysia, seiring dengan kedudukan negara sebagai Pengerusi ASEAN.
Dalam lanskap pasca-pandemik yang dicirikan oleh cabaran geopolitik dan ekonomi yang kompleks, Malaysia tampil ke hadapan untuk menerajui rantau ini ke arah pengukuhan ekonomi digital serantau yang lebih menyeluruh dan lestari. Ini membuka lembaran peluang strategik untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pelopor dalam transformasi digital dan rangkuman serantau.
Inisiatif sedia ada seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menyediakan asas kukuh bagi penyatuan ekonomi digital.
Super Apps, dengan potensinya yang besar, mampu bertindak sebagai pemersatu antara pengguna, peniaga, penyedia perkhidmatan kewangan, dan entiti kerajaan dalam satu ekosistem digital rentas sempadan.
Dalam persekitaran ekonomi serantau yang kian digital, penumpuan terhadap pembangunan Super Apps sebagai daya penggerak penghubung pelbagai sektor ekonomi dan sosial menjadi semakin kritikal.
Super Apps, yang berfungsi sebagai platform digital bersepadu merangkumi pelbagai perkhidmatan seperti pembayaran, perbankan, penghantaran makanan, perkhidmatan kesihatan, dan e-dagang, kini giat membentuk semula struktur ekonomi ASEAN.
Laporan Bain & Company 2023 meramalkan ekonomi digital ASEAN akan mencecah AS$1 trilion menjelang 2030, dengan Super Apps berperanan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ini. Di Malaysia sahaja, kadar penembusan e-dompet telah mencapai 88% pengguna pada akhir 2024, dengan 409 transaksi e-pembayaran per kapita, menandakan kesediaan rakyat untuk beradaptasi dengan ekosistem digital yang lebih komprehensif.
Kejayaan pembangunan Super Apps di negara seperti China (contohnya WeChat) dan Indonesia (contohnya Gojek) berfungsi sebagai inspirasi kepada rantau ini untuk membina sistem digital yang inklusif dan saksama. Pasaran Super Apps di Asia Tenggara diramal bernilai AS$127.46 bilion menjelang 2025 dan dijangka berkembang pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 28.13% untuk mencapai AS$440.19 bilion menjelang 2030.
Malaysia kini memiliki pemain tempatan yang mantap seperti Touch 'n Go eWallet, dengan 22 juta pengguna yang telah disahkan eKYC, serta platform seperti Boost dan GrabPay yang telah meluaskan fungsinya kepada insurans mikro, pelaburan, dan remitans.
Lebih dari itu, teknologi ini berupaya menyokong keterangkuman kewangan dan sosial, lantas memacu pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 5: Kesaksamaan Gender dan SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi.

Super Apps Sebagai Pemangkin Keterangkuman Kewangan
Keterangkuman kewangan sering menjadi halangan utama di negara-negara membangun. Ramai individu masih tidak mempunyai akaun bank atau akses kepada kredit formal.
Teknologi kewangan (Fintech), terutamanya melalui Super Apps, menyediakan laluan bagi golongan ini untuk memperoleh perkhidmatan kewangan secara digital. Data menunjukkan sekitar 15% populasi Malaysia masih "unbanked" dan 40% "underbanked", mencerminkan cabaran serupa di seluruh rantau ASEAN.
Menurut World Bank Findex, pemilikan akaun di institusi kewangan atau perkhidmatan wang mudah alih di ASEAN telah meningkat secara mendadak, dari 3% kepada 60% di Kemboja; dari 9% kepada 62% di Laos; dan dari 12% kepada 62% di Indonesia.
Kajian dari China (2021) membuktikan bahawa penggunaan teknologi kewangan secara menyeluruh, meliputi aspek liputan, kedalaman penggunaan, dan tahap digitalisasi, berjaya mengurangkan jurang pendapatan antara jantina.
Sistem algoritma Fintech yang bersifat objektif dapat meminimumkan kebergantungan kepada pegawai bank yang mungkin memiliki bias tersirat terhadap wanita. Di Malaysia, nilai transaksi e-dompet dianggarkan RM164 bilion pada 2024, peningkatan 62.4% dari RM101 bilion pada 2023, menandakan peningkatan keyakinan pengguna terhadap platform digital.
Malaysia mempunyai potensi besar untuk mencontohi kejayaan ini, dengan memanfaatkan platform Super Apps sebagai ruang inklusif untuk wanita, usahawan mikro, dan golongan B40. Lima daripada sepuluh negara teratas dunia dari segi penembusan e-dompet adalah negara Asia Tenggara, iaitu Thailand, Vietnam, Filipina, Malaysia, dan Indonesia.
Malaysia Sebagai Pusat Digital Serantau
Malaysia kini menempatkan dirinya di barisan hadapan sebagai lokasi pelaburan strategik di Asia Tenggara. Kedudukannya yang geografi, kemudahan infrastruktur digital yang cekap, dan kestabilan politik menjadikan negara ini pusat pelancaran yang ideal bagi syarikat global yang berhasrat menembusi pasaran ASEAN.
Malaysia telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM16.2 bilion (AS$3.4 bilion) di bawah inisiatif Malaysia Digital dari Januari hingga April 2025, dengan unjuran mewujudkan 6,480 peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Dalam konteks ini, pembangunan Super Aplikasi buatan tempatan yang mesra pengguna, patuh syariah, dan inklusif mampu memposisikan Malaysia sebagai hab inovasi digital serantau.
Gergasi teknologi seperti Microsoft, Amazon, Alibaba Cloud, dan Huawei telah membuat pelaburan berbilion dolar untuk memajukan infrastruktur perkhidmatan awan mereka di Malaysia.
Inisiatif seperti Platform Ekonomi Digital Malaysia (PEDi), MyDigital, dan kerjasama dengan sektor swasta seperti Touch 'n Go dan Boost perlu diselaraskan dengan strategi serantau ASEAN. Kementerian Digital Malaysia telah melancarkan program DEX CONNEX 2025 di Filipina, yang menghimpunkan 49 syarikat teknologi Malaysia dan 43 rakan kongsi Filipina untuk mempertingkatkan kerjasama digital.
Super Aplikasi dan Agenda Kelestarian
Selain daripada aspek keterangkuman, Super Aplikasi juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan kelestarian. Sebagai contoh, fungsi pembayaran tanpa tunai dan dompet digital dapat mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan wang kertas, seterusnya menyumbang kepada pengurangan jejak karbon.
Pada tahun 2024, hanya 36% transaksi fizikal di Malaysia menggunakan tunai, penurunan ketara berbanding 45% pada 2023, dengan e-dompet menyumbang 23% daripada semua transaksi tanpa tunai. Malaysia mensasarkan 50% daripada jumlah transaksi runcit menjadi digital menjelang 2025, selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Lebih menarik lagi, Super Aplikasi berupaya digunakan untuk menggalakkan tingkah laku mesra alam melalui ganjaran digital, pelaporan impak karbon pengguna, dan promosi produk hijau tempatan.
Integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan kepintaran buatan (AI) dijangka akan memacu personalisasi perkhidmatan, analisis perbelanjaan, dan pengesanan penipuan proaktif dalam Super Aplikasi. Dalam jangka masa panjang, Super Aplikasi berfungsi sebagai medium pendidikan kelestarian secara tidak langsung kepada masyarakat.
Dalam konteks masyarakat patriarki, seperti yang lazim ditemui di China dan sebahagian negara ASEAN, wanita sering kali terpinggir dari sistem kewangan tradisional. Keputusan pinjaman seringkali didasarkan pada persepsi terhadap wanita sebagai golongan yang kurang berkemampuan atau tidak stabil dari segi ekonomi.
Data dari Malaysia menunjukkan purata perbelanjaan bulanan pengguna e-dompet meningkat kepada RM388.00 sebulan pada 2024, dengan segmen perbelanjaan RM301-RM500 meningkat daripada 12% (2021) kepada 32% (2024), mencerminkan peningkatan kuasa beli digital merentas semua segmen masyarakat.
Walau bagaimanapun, Super Aplikasi menawarkan alternatif yang berdaya maju. Wanita kini boleh mengakses pinjaman mikro secara digital berdasarkan rekod perbelanjaan dan aktiviti perniagaan mereka, tanpa mengira nama atau status pekerjaan.
Platform Super Aplikasi seperti Shopee dilaporkan mendominasi 48% bahagian pasaran e-dagang ASEAN, dengan TikTok Shop menyaksikan peningkatan hampir empat kali ganda GMV tahunannya kepada AS$16.3 bilion. Ini membuka ruang kepada wanita di kawasan luar bandar untuk menceburi bidang keusahawanan, menyimpan wang, dan memperkukuh kedudukan ekonomi keluarga mereka.
Kemudahan seperti pembayaran bil utiliti (43% pengguna), tambah nilai prabayar (45%), dan pesanan makanan (48%) melalui Super Aplikasi telah memudahkan pengurusan kewangan harian wanita yang bekerja.
Contoh kejayaan ini jelas terlihat dalam data mikro dari China, di mana kawasan dengan kadar penggunaan Fintech yang tinggi menunjukkan jurang pendapatan antara jantina yang jauh lebih sempit. Kajian ini menyokong hujah bahawa digitalisasi adalah instrumen yang berkesan dalam menghapuskan diskriminasi kewangan terhadap wanita.
Cabaran dan Haluan Polisi
Walaupun potensi Super Aplikasi adalah amat luas, pelaksanaannya turut berdepan dengan pelbagai rintangan. Antaranya adalah isu keselamatan siber, di mana hanya 66% pengguna berasa selamat menyimpan wang dalam e-dompet, dengan insiden penipuan dan akaun digodam masih berlaku.
Bank Negara Malaysia telah memperketat garis panduan melalui Dokumen Dasar E-Money dan mewajibkan eKYC bermula Disember 2024 bagi meningkatkan tahap keselamatan.
Selain itu, terdapat juga jurang literasi digital, di mana 1 daripada 3 individu masih berkongsi PIN perbankan dengan pihak lain, menunjukkan tahap literasi kewangan digital yang masih rendah.
CNBC melaporkan bahawa walaupun ASEAN memiliki kadar penembusan internet melebihi 70% dan kebanyakan penduduk memiliki telefon pintar, literasi digital masih menjadi cabaran utama terutamanya di kawasan luar bandar.
Seterusnya adalah ketidaksamaan digital, di mana pembangunan yang tidak seimbang boleh meluaskan jurang digital jika tidak ditangani secara strategik. Sebagai contoh, 75% penduduk Kemboja masih menetap di kawasan luar bandar, yang menyukarkan akses kepada perkhidmatan digital
Justeru, dasar awam yang menyokong pembangunan infrastruktur, program literasi digital yang berterusan, serta pengawasan dan perlindungan data yang kukuh perlu diberi keutamaan. Malaysia telah mengambil inisiatif membangunkan Rangka Kerja Pengurusan Data ASEAN (DMF) dan Model Klausa Kontrak ASEAN untuk Aliran Data Rentas Sempadan (MCCs) bagi membolehkan piawaian yang selaras dalam pengurusan data dan aliran data rentas sempadan dalam ASEAN.
Cadangan Strategik Untuk Malaysia dan ASEAN
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia seharusnya memimpin usaha ke arah pembinaan ekosistem Super Aplikasi serantau yang mampan, inklusif, dan selamat.
Antara cadangan utama termasuk penyelarasan standard digital ASEAN, meliputi piawaian API, perlindungan data, dan rangka kerja e-KYC serantau. Malaysia kini giat membangunkan ASEAN Regional Computer Emergency Response Team (CERT) yang dijangka beroperasi pada 2025 untuk meningkatkan respons yang terkoordinasi terhadap ancaman siber rentas sempadan.
Seterusnya, pembiayaan digital inklusif melalui penyediaan insentif kepada syarikat pemula (startup) yang membangunkan aplikasi untuk golongan rentan, termasuk wanita dan OKU. Sebagai contoh, pautan pembayaran kod QR rentas sempadan di bawah Rangka Kerja Dasar Pembayaran ASEAN untuk Sistem Pembayaran Runcit Masa Nyata Rentas Sempadan (RT-RPS) kini telah beroperasi di Vietnam, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand.
Selain itu, pelaburan dalam pendidikan digital adalah penting untuk memastikan rakyat dari pelbagai latar belakang dapat memanfaatkan teknologi baharu. Inisiatif Visi Kemahiran Digital ASEAN 2020 telah menerima komitmen daripada 23 organisasi untuk melatih kemahiran digital bagi pengawal selia, pekerja PKS, pelajar, dan rakyat ASEAN.
Akhir sekali, pelibatan sektor swasta dan awam melalui pembentukan platform kerjasama antara kerajaan, industri, dan universiti untuk inovasi berasaskan komuniti. Bank Negara Malaysia sedang meneroka Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC) untuk kegunaan runcit dan rentas sempadan, yang berpotensi disepadukan dengan ekosistem Super Aplikasi pada masa hadapan.
Kesimpulan
Super Aplikasi bukan sekadar fenomena teknologi semata-mata, tetapi ia juga merupakan instrumen transformasi sosial dan ekonomi yang berkuasa. Ekonomi digital di enam negara ASEAN terbesar (Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam) dijangka berkembang 6% setiap tahun dan mencapai AS$363 bilion menjelang 2025.
Pandemik COVID-19 telah mempercepat proses transformasi pembayaran digital kira-kira 5 tahun lebih awal dari jangkaan normal, dengan 14.7 bilion transaksi e-pembayaran dicatatkan pada 2024.
Malaysia, dengan peranannya sebagai tuan rumah ASEAN 2025, berpeluang besar untuk memacu agenda keterangkuman digital serantau yang mampan dan adil. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Forum Ekonomi Dunia 2025, telah menegaskan keperluan untuk membina kepercayaan dan inklusiviti dalam kalangan negara anggota sambil menjalin hubungan yang konstruktif dengan kuasa global utama.
Kadar penggunaan e-dompet di Malaysia (~87%) kini setanding dengan negara jiran seperti Indonesia (92%) dan Filipina (87%), membuktikan potensi besar untuk kepimpinan serantau.
Dengan pendekatan bersepadu yang melibatkan sektor awam, swasta, akademik, dan masyarakat sivil, Malaysia mampu menjadi contoh pembangunan digital yang tidak hanya berorientasikan keuntungan, tetapi juga memperjuangkan nilai kemanusiaan dan kelestarian sejagat.
Masa depan ASEAN bukan hanya ditentukan oleh siapa yang paling pantas membangunkan aplikasi, tetapi siapa yang paling berjaya membangunkan masyarakat yang saksama melalui inovasi digital. - DagangNews.com








