Sunway teroka potensi 'Silver Economy’ seiring peningkatan populasi warga emas, menurut MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway teroka potensi 'Silver Economy’ seiring peningkatan populasi warga emas, menurut MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Sept – Langkah Sunway Bhd menceburi sektor penjagaan berkaitan warga emas atau 'silver economy’ menerusi pembangunan Sunway Sanctuary tepat pada masanya, mengambil kira peningkatan populasi warga emas di negara ini, menurut penganalisis pasaran.

 

MBSB Research berkata, walaupun sumbangan bidang itu kepada kumpulan masih kecil ketika ini, namun ia tidak wajar diketepikan jika melihat peningkatan permintaan khususnya dalam sektor premium.

 

“Kemudahan penjagaan warga emas berstatus premium dan rawatan pasca keluar hospital yang ditawarkan oleh Sunway Sanctuary turut mendapat sokongan daripada sektor pelancongan kesihatan negara,” kata firma itu.

 

Sunway Sanntuary sebuah kediaman khusus penjagaan warga emas telah dibuka pada tahun 2023 dan terletak di aras 15 hingga 30 di Menara D, Sunway Medical Centre, Subang Jaya, Selangor. Projek ini merupakan sebahagian daripada cabang penjagaan kesihatan konglomerat tersebut.

 

MBSB Research berkata, walaupun sumbangan daripada Sunway Sanctuary masih kecil ketika ini, usaha Sunway dalam menceburi ‘silver economy’ adalah bertepatan dengan peningkatan populasi warga emas di negara ini.

 

Namun begitu, selepas lawatan ke fasiliti tersebut, firma penyelidikan menegaskan tidak ada apa perubahan dibuat ke atas unjuran pendapatan syarikat bagi tahun 2025 hingga 2027.

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL ke atas saham Sunway dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM5.06.

 

Firma itu menambah, potensi penyenaraian unit penjagaan kesihatan Sunway adalah perkembangan positif, tetapi potensi kenaikan harga saham dijangka terhad memandangkan ia telah dimasukkan ke dalam penilaian semasa.

 

Menurut MBSB Research, Sunway Sanctuary menawarkan perkhidmatan meliputi kediaman kendiri, penjagaan separa bantuan, penjagaan pasca keluar hospital dari serendah RM8,800 sebulan sehingga RM10,800 sebulan.

 

Penjagaan separa bantuan untuk pesakit yang menjalani pemulihan pasca pembedahan ortopedik atau jantung pula ditetapkan pada kadar harga bulanan RM10,800, manakala 28 bilik untuk penjagaan pasca bersalin ditetapkan pada kadar pakej bermula dari RM23,800 untuk tempoh 28 hari.

 

“Fasiliti yang lengkap ini telah menyumbang kepada peningkatan kadar penghunian purata kepada 50%, berbanding hanya 30% pada tahun lalu,” kata firma itu.

 

MBSB menambah, kadar penghunian turut dipacu oleh golongan warga emas yang datang untuk bercuti jangka pendek, dengan kadar bayaran harian sebanyak RM600. - DagangNews.com