KUALA LUMPUR 24 Okt – Sunway iLabs, makmal inovasi dan cabang modal teroka korporat Kumpulan Sunway mengadakan perkongsian strategik dengan China International Capital Corporation (CICC), salah satu bank pelaburan terkemuka di China, bagi memperkukuh pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan memperluas kerjasama inovasi antara China serta Malaysia.
Perkongsian itu diumumkan pada acara FutureX Connect, sebahagian daripada siri utama FutureX Series, yang menghimpunkan pemain industri, syarikat pemula, pelabur dan korporat dari rantau ini bagi meneroka potensi AI serta teknologi mendalam.
Melalui kerjasama ini, Sunway iLabs dan CICC Capital akan membina hubungan inovasi antara ekosistem China dan Asia Tenggara, dengan tumpuan kepada pengkomersialan teknologi, pembangunan bakat serta pertumbuhan perniagaan berasaskan AI.
Ketua CICC Asia Tenggara dan Asia Selatan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CICC Singapura, Stephen Ng, berkata gabungan kekuatan kedua-dua pihak menandakan langkah penting untuk memperluas ekosistem AI China ke pasaran serantau.
“Kerjasama ini menggabungkan kepakaran pelaburan global CICC Capital dengan ekosistem inovasi Sunway iLabs — satu langkah strategik yang membolehkan peneraju inovasi China menguji dan mengembangkan penyelesaian AI praktikal di Malaysia dan Asia Tenggara, serta sebaliknya,” katanya.
CICC Capital yang kini mengurus aset bernilai AS$60 bilion (RM283 bilion), memiliki rekod kukuh dalam pelaburan strategik melibatkan teknologi hadapan seperti semikonduktor AI, platform kesihatan berasaskan AI, automotif pintar, komunikasi mudah alih dan keselamatan siber.
Sementara itu, Ketua Pegawai Inovasi Kumpulan Sunway merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sunway iLabs, Matt Van Leeuwen, berkata kerjasama tersebut membuka peluang luas untuk Sunway iLabs mengakses ekosistem AI China yang matang dan terbukti.
“Dengan menghubungkan kedua-dua ekosistem, perkongsian ini mewujudkan jambatan dua hala di mana China menyumbang teknologi AI yang terbukti dan Malaysia pula menyediakan persekitaran pelbagai untuk penyesuaian serta pengembangan serantau,” katanya.
Beliau menambah, langkah itu juga selaras dengan strategi jangka panjang Sunway untuk mengintegrasikan inovasi, pelaburan dan pertumbuhan lestari, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau.
Perkongsian ini turut menandakan momentum baharu dalam kerjasama rentas sempadan Asia, sejajar dengan kedudukan China sebagai peneraju dalam penggunaan AI berasaskan aplikasi dan kebangkitan Malaysia sebagai pusat transformasi digital yang pesat berkembang.
Sunway iLabs sebelum ini turut menjalin kerjasama strategik dengan Andreessen Horowitz (a16z), firma modal teroka berpengaruh dari Silicon Valley, dalam usaha memperkukuh jaringan modal dan teknologi globalnya di Asia Tenggara.
Melalui inisiatif seperti FutureX Series dan FutureX Ventures Fest, Sunway iLabs komited untuk memupuk syarikat pemula berpotensi tinggi, mempercepat adopsi AI dan teknologi mendalam, serta mengukuhkan kedudukan Asia Tenggara sebagai hab inovasi utama dunia.
“Kerjasama dengan CICC Capital menegaskan peranan Sunway iLabs sebagai penghubung utama antara jaringan inovasi global dan peluang serantau. Ia juga mencerminkan komitmen Kumpulan Sunway terhadap pertumbuhan inklusif dan lestari melalui teknologi, pelaburan serta pendidikan,” ujar Van Leeuwen. - DagangNews.com








