KUALA LUMPUR 27 Jan - Sunsuria Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM37.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, menandakan peningkatan signifikan 56.4% tahun ke tahun (YoY).
Prestasi memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh sumbangan setahun penuh daripada pegangan ekuiti tambahan sebanyak 33% dalam Bangsar Hill Park Development Sdn Bhd diperoleh pada Jun 2024.
Selain itu tambah kumpulan pemaju tersebut, keuntungan nilai saksama bersih disokong sebanyak RM10.8 juta daripada langkah pelarasan nilai hartanah pelaburan mengikut keadaan pasaran semasa.
"Syarikat mencatatkan perolehan RM566.7 juta bagi FY25, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) kekal stabil pada RM80.3 juta berbanding RM77.9 juta bagi FY24," maklum Sunsuria kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, syarikat sudah membayar dividen interim kedua satu sen sesaham bagi tahun kewangan 2024 pada 31 Disember 2024, namun tiada dividen dicadangkan bagi tahun kewangan 2025 setakat ini.
Walaupun keuntungan bersih meningkat, pendapatan keseluruhan kumpulan itu susut daripada RM627.8 juta kepada RM566.7 juta, selaras dengan jadual penyiapan dan penyerahan beberapa projek utama.
Antaranya ialah Sunsuria City Seni Residences, Bangsar Hill Park Verdura (Fasa 1), dan Sunsuria Forum Corporate Suites, manakala projek-projek baharu masih lagi dalam peringkat awal pembinaan.
"Segmen pendidikan menunjukkan pertumbuhan ketara dengan hasil naik kepada RM14.7 juta berbanding RM2.2 juta pada tahun sebelumnya, yang mencerminkan pertumbuhan pendaftaran pelajar," katanya.
Situasi ini jelas Sunsuria, melibatkan kemasukan di institusi pengajian swasta dikendalikannya, Concord College International School, Sepang, Selangor dalam tahun akademik penuh pertamanya.
Di samping itu, kumpulan hartanah berkenaan terus memperkukuhkan lagi simpanan tanahnya melalui penyelesaian pengambilan 719 hektar di Mukim Batang Padang dan Bidor, Perak pada Disember 2025.
Syarikat tersebut turut memuktamadkan perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan Kwasa Land Sdn Bhd untuk projek kediaman di Kwasa Damansara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) ialah RM492.0 juta.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Sunsuria, Tan Sri Datuk Ter Leong Yap berkata, kumpulan akan terus fokus disiplin modal dan kepelbagaian portfolio perniagaan termasuk sektor penjagaan kesihatan.
"Bagi FY26, kami kekal optimis secara berhati-hati serta akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan, mengekalkan pelaksanaan sambil memperkukuh kualiti dan daya tahan portfolio kami," katanya.
Sunsuria kini dalam perancangan fasa pertama projek di Kwasa Damansara pada suku ketiga 2026 dan meneruskan momentum jualan projek sedia ada seperti Bangsar Hill Park. - DagangNews.com








