KUALA LUMPUR 16 April - Kerajaan Sarawak mengumumkan beberapa bentuk bantuan khas bagi membantu rakyat di negeri itu berdepan cabaran krisis tenaga dan ekonomi global yang tercetus susulan konflik di Timur Tengah.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan ditingkatkan kepada isi rumah, warga emas dan individu bujang, dengan bayaran antara RM75 hingga RM150, lapor Bernama.
Beliau berkata, hampir 900,000 penerima yang layak dijangka menerima manfaat berdasarkan data Sumbangan Tunai Rahmah tahun ini.
“Bantuan ini akan disalurkan dalam tiga fasa sepanjang 2026. Fasa pertama bermula pada Mac, fasa kedua dijadualkan pada Mei, manakala fasa ketiga pada November,” katanya dalam sidang media.
Menurut beliau, peningkatan itu melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM136.2 juta berbanding RM543.8 juta yang diperuntukkan bagi SKAS tahun ini.

Abang Johari turut mengumumkan diskaun bil elektrik sebanyak 25% untuk pengguna domestik dari April hingga Disember tahun ini, yang dijangka memanfaatkan 714,557 isi rumah.
Subsidi berjumlah RM188.1 juta itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
Bagi mengurangkan kos perniagaan, beliau berkata kerajaan turut menyediakan diskaun 50% ke atas sewaan pasar dan gerai di bawah pihak berkuasa tempatan.
“Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang menyewa premis perniagaan milik badan berkanun negeri seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Lembaga Kemajuan Bintulu dan Lembaga Amanah Pembangunan Tanah, diskaun sewaan 50% turut diberikan.
“Badan-badan berkanun berkenaan akan menanggung kos diskaun ini yang dianggarkan memberi implikasi kewangan sebanyak RM8.1 juta,” katanya. - DagangNews.com








