Subsidi RON95 bersasar: Jimat besar untuk kerajaan, lebihan kuasa beli untuk rakyat - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidi RON95 bersasar: Jimat besar untuk kerajaan, lebihan kuasa beli untuk rakyat - Maybank IB

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Sept - Subsidi petrol RON95 bersasar yang bakal dilaksanakan hujung bulan ini dijangka memberi penjimatan fiskal kepada kerajaan serta meningkatkan kuasa beli isi rumah tanpa memberi tekanan besar kepada inflasi, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Melalui skim baharu itu, harga subsidi RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter, berbanding kadar siling semasa RM2.05 seliter.

 

 

 

 

 

 

 

 

Warganegara Malaysia layak menikmati kuota sehingga 300 liter sebulan, jauh lebih tinggi daripada penggunaan purata sebenar sekitar 150–200 liter. Bagi bukan warganegara, mereka perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi kira-kira RM2.60 seliter.

 

Maybank IB berkata, kuota tersebut adalah “murah hati” berbanding penggunaan sebenar, manakala harga subsidi yang tidak berubah bagi kenderaan awam dan sektor logistik membantu mengekang kenaikan kos rantaian bekalan.

 

Bank itu mengunjurkan penjimatan pengguna sebanyak RM0.9 bilion pada suku keempat 2025 dan RM3.5 bilion pada 2026, yang berpotensi menambah 0.1 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK 2025 dan 0.3 mata peratusan pada 2026, di atas unjuran semasa masing-masing 4.2% dan 4.1%.

 

Di peringkat fiskal, skim ini turut dijangka memberi manfaat ketara. Penjimatan fiskal tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion dijangka dicapai, berbanding bil subsidi RON95 yang mencecah sehingga RM20 bilion setahun.

 

Memandangkan 99% pemandu Malaysia menggunakan tidak lebih daripada 300 liter RON95 sebulan (dengan penggunaan sebenar dilaporkan antara 150–200 liter sebulan), serta harga subsidi RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter ketika ini, penjimatan subsidi RON95 pada dasarnya datang daripada bukan warganegara yang perlu membayar harga tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter ketika ini.

 

Menteri Kewangan II berkata mekanisme bersasar ini akan mengurangkan ketirisan dengan mengecualikan warga asing.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Ucapan Belanjawan 2025, turut menegaskan penjimatan fiskal boleh mencecah sehingga RM8 bilion setahun sekiranya skim itu turut mengecualikan kumpulan Top-15% (T15) berpendapatan tinggi.

 

 

 

 

 

 

 

“Secara keseluruhan, kami tidak menjangkakan sebarang kesan langsung yang besar terhadap inflasi daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini, namun ia bakal menyuntik rangsangan positif kepada penggunaan domestik,” kata Maybank IB.

 

Langkah ini menandakan kesinambungan agenda rasionalisasi subsidi kerajaan, bagi menyeimbangkan disiplin fiskal dengan perlindungan kos sara hidup rakyat. - DagangNews.com