KUALA LUMPUR 21 Jan — Steel Hawk Berhad menerusi anak syarikatnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) memperoleh subkontrak kerja perolehan, pembinaan dan pentauliahan pintu kalis api di Sabah.
Kata kumpulan tersebut, tender terbaharu berkenaan dianugerahkan oleh Eternity Mode Sdn Bhd pada 20 Januari 2026, dengan tempoh kontrak selama dua tahun sembilan bulan sehingga 31 Oktober 2028.
Bagaimanapun jelas Steel Hawk, pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut dilaksanakan lewat sehari setelah kelulusan secara bertulis daripada Eternity Mode hanya diperoleh pada 21 Januari 2026.
"Kontrak ini berasaskan ‘panggilan’ tanpa ada nilai tetap, dengan perkhidmatan disediakan itu diputuskan mengikut keperluan sepanjang tempoh kontrak berkenaan," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Dari segi kewangan, kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat, serta tidak dijangka memberi apa-apa kesan material kepada aset bersih kumpulan.
Bagaimanapun tambah Stee Hawk, tender dijangka mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan bersih kumpulan berkenaan dicatatkan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.
Lembaga pengarah menyatakan kontrak itu adalah dalam urusan perniagaan biasa kumpulan dan demi kepentingan terbaik syarikat, selain tidak mendedahkan Steel Hawk kepada sebarang risiko baharu.
"Kumpulan ini turut mengesahkan yang tiada kepentingan daripada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama dalam kontrak berkenaan," katanya. - DagangNews.com








