KUALA LUMPUR 6 Feb - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai tertinggi IJM Corporation Bhd bagi membantu siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, urus niaga kewangan serta pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Sumber memaklumkan lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada Khamis (5 Feb) di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya susulan pemeriksaan dan penggeledahan yang dijalankan di kediamannya.
“SPRM turut menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di tiga lokasi tambahan, iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan, sebuah bank pelaburan serta kediaman suspek.
“Siasatan awal mendapati bank pelaburan berkenaan telah dilantik untuk menguruskan proses tawaran pengambilalihan yang melibatkan IJM Corporation Bhd, termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun yang dibiayai sendiri,” kata sumber itu.
Pada 19 Jan, Bahagian Operasi Khas SPRM telah memulakan siasatan terhadap suspek berhubung dakwaan ketidakpatuhan melibatkan tadbir urus korporat, proses perolehan, urus niaga kewangan serta pemilikan aset luar negara bernilai RM2.5 bilion, yang berkemungkinan merupakan kesalahan di bawah undang-undang berkaitan.
Susulan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank peribadi dan korporat yang dikaitkan dengan kes tersebut, melibatkan dana berjumlah kira-kira RM30.6 juta.
Sumber turut memaklumkan bahawa siasatan juga tertumpu kepada usaha mengesan dan menyita aset-aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.
Setakat ini, seramai 15 individu termasuk isteri suspek telah dipanggil untuk dirakam percakapan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi, sambil berkata siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau menambah bahawa suspek telah dibebaskan dalam tempoh 24 jam selepas rakaman percakapannya selesai berikutan masalah kesihatan. - DagangNews.com








