KUALA LUMPUR 4 Nov - Langkah SP Setia Bhd menjual sebahagian tanah di Semenyih pada harga RM273.5 juta bukan sahaja mampu memperkukuhkan kedudukan kewangannya tetapi memanfaatkan semula modal kepada projek yang sedang berjalan dengan lebih efisien, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Menurut bank pelaburan itu, memandangkan SP Setia tiada rancangan segera untuk membangunkan tanah di Glengowrie Estate itu, penjualan adalah langkah tepat bagi menjana pulangan lebih mampan.
"SP Setia masih mengekalkan pegangan tanah seluas 1,231 ekar di kawasan Semenyih-Bangi selepas penjualan ini.
"Kami percaya syarikat boleh menentukan masa pelancaran projek akan datang dengan lebih strategik untuk memaksimumkan nilai apabila kawasan tersebut matang — terutamanya dengan pembangunan oleh Eco World dan Mah Sing Group Bhd (MSGB) yang dijangka memacu pertumbuhan di kawasan itu," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Maybank IB, SP Setia turut menerima tawaran pembelian pada harga yang menarik kerana lebih tinggi antara 14% hingga 26% berbanding transaksi sebelumnya oleh pemaju lain di kawasan sama.
"Kami berpandangan positif terhadap urus niaga ini kerana harga jualannya yang menarik pada MYR22.80 psf, iaitu 14–26% lebih tinggi berbanding transaksi terdahulu (MYR18–20 psf) oleh ECW (HOLD, TP MYR2.23) dan MSGB pada tahun 2023–2024," katanya.
Semalam SP Setia mengumumkan penjualan sebahagian tanah pegangan di Semenyih bernilai RM273.5 juta kepada MSGB membabitkan dua perjanjian jual beli bersyarat (SPA) melibatkan 275.4 ekar tanah pertanian di Mukim Beranang, Selangor.
Tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada ladang Glengowrie Estate seluas 805 ekar, yang terletak berhampiran Lebuhraya LEKAS serta hanya 16 kilometer dari Kajang dan 43 kilometer dari Kuala Lumpur. Penjualan dijangka dimuktamadkan menjelang separuh kedua tahun 2026.
Menurut Maybank IB, dari sudut kewangan, penjualan tanah itu dijangka menyumbang keuntungan kira-kira RM34.5 juta kepada keputusan kewangan tahun kewangan 2026 (FY26).
Walaupun Maybank IB menurunkan sedikit unjuran keuntungan dan nilai aset bersih terlaras (RNAV) SP Setia kepada RM3.60 sesaham, bank pelaburan itu masih menaik taraf saranan kepada BELI, dengan harga sasaran baharu RM1.00 sesaham.
"Kami menyesuaikan unjuran keuntungan FY25-27E sebanyak -4% hingga +3%. Kelemahan harga saham baru-baru ini menunjukkan potensi kenaikan melebihi +10% berbanding TP kami," katanya. - DagangNews.com








