KUALA LUMPUR 21 Nov - Solarvest Holdings Bhd telah memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM320 juta untuk membina sebuah loji fotovolta berkapasiti 99.99MWac di Kampar, Perak, di bawah program Large Scale Solar 5 (LSS5).
Kontrak itu dianugerahkan oleh Wawasan Demi Sdn. Bhd., anak syarikat milik 63% AIZO Group Berhad, bagi membangunkan projek solar terapung berkapasiti 99.99MWac di Kampar, Perak, yang disasar mencapai operasi komersial pada 30 Oktober 2027.
Dalam kenyataan, syarikat memberitahu, setelah siap, projek tersebut dijangka menjana 205,709MW tenaga bersih setahun, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 159,219 tan – menyumbang kepada sasaran peralihan tenaga negara.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Solarvest, Leon Liew Chee Ing, berkata kontrak itu mencerminkan keyakinan pasaran terhadap kemampuan teknikal syarikat dalam mengendalikan projek solar terapung berskala besar.
“Kami berterima kasih atas kepercayaan Wawasan Demi. Projek seperti ini memerlukan kejuruteraan pintar dan reka bentuk lestari yang canggih. Solarvest komited menyiapkan projek ini dengan selamat, cekap dan pada standard tertinggi,” katanya.
Dengan kontrak baharu itu, buku pesanan Solarvest kini meningkat kepada RM1.6 bilion, selepas pengumuman keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026).
Kenaikan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan Solarvest sebagai rakan tenaga bersih yang semakin mendapat kepercayaan di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AIZO Group Berhad, Datuk Abang Abdillah Izzarim, berkata projek LSS5 di Kampar merupakan langkah penting dalam memperluaskan portfolio tenaga bersih kumpulan itu.
“Kerjasama ini selari dengan aspirasi kami untuk mempercepatkan penggunaan tenaga lestari di Malaysia. Projek ini menandakan usaha solar berskala besar kedua kami di Semenanjung Malaysia, dan menjadi asas kepada pengembangan kami ke pasaran baharu termasuk Sarawak,” katanya.
Pada hari sama, AIZO turut mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), dengan semua resolusi diluluskan oleh pemegang saham.
Kumpulan itu merakamkan penghargaan kepada para pemegang saham atas keyakinan berterusan terhadap strategi jangka panjangnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. - DagangNews.com








