SMRT, Kuasa Aktif bentuk rangka kerja teknologi strategik, pertingkat keupayaan IoT dan infrastruktur digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SMRT, Kuasa Aktif bentuk rangka kerja teknologi strategik, pertingkat keupayaan IoT dan infrastruktur digital

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – SMRT Holdings Berhad (SMRT) memperkukuh agenda transformasi teknologinya apabila memeterai Perjanjian Kerjasama dan Libat Urus Teknologi Strategik bersama Kuasa Aktif Sdn. Bhd. (KASB) bagi membentuk rangka kerja kerjasama berstruktur dalam penyelidikan, penambahbaikan, demonstrasi serta potensi pelaksanaan komersial teknologi.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, SMRT berkata, perjanjian yang dimeterai pada 16 Januari 2026 itu bertujuan memformalkan penglibatan strategik antara kedua-dua pihak bagi menyokong pembangunan teknologi semasa dan masa hadapan, tanpa melibatkan sebarang komitmen muktamad kepada pengambilalihan, usaha sama atau pengkomersialan pada peringkat ini.

 

Menurut SMRT, KASB merupakan sebuah syarikat teknologi yang memiliki teknologi berpaten di Malaysia hasil usaha penyelidikan dan pembangunan proprietarinya, manakala SMRT akan menyumbang kepakaran domain, input seni bina sistem, maklum balas operasi serta akses kepada persekitaran berkaitan bagi tujuan penilaian, demonstrasi dan penambahbaikan teknologi.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, SMRT menyasarkan peruntukan agregat sehingga RM300,000.00 bagi menyokong aktiviti penyelidikan, penambahbaikan, demonstrasi dan penilaian teknologi, tertakluk kepada kelulusan dalaman, tadbir urus dan pematuhan keperluan kawal selia.

 

Peruntukan itu bagaimanapun tidak membentuk komitmen pembiayaan muktamad atau jangkaan penyertaan ekuiti.

 

SMRT menegaskan perjanjian tersebut bersifat tidak eksklusif, sekali gus mengekalkan fleksibiliti kumpulan untuk bekerjasama dengan pihak lain atau meneroka penyelesaian teknologi alternatif. Sebarang pengaturan komersial, pelaburan atau pelesenan pada masa hadapan akan tertakluk kepada perjanjian berasingan dan kelulusan yang berkaitan.

 

Dari segi rasional, SMRT berkata kedua-dua pihak sebelum ini telah berjaya melaksanakan beberapa projek perintis menggunakan teknologi berpaten KASB yang memenuhi kepuasan kumpulan.

 

Kerjasama baharu ini membolehkan SMRT menilai secara lebih mendalam potensi aplikasi komersial, mengintegrasikan teknologi dengan platform sedia ada serta memperkukuh keupayaan strategik dalam bidang Internet Benda Perindustrian (IoT), infrastruktur digital, utiliti pintar dan penyelesaian berasaskan teknologi.

 

Lembaga pengarah SMRT berpandangan perjanjian itu tidak menimbulkan sebarang risiko material dan tidak dijangka memberi kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih atau modal saham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

 

“Setelah mempertimbangkan semua aspek perjanjian ini, lembaga berpendapat bahawa kerjasama strategik tersebut adalah demi kepentingan terbaik SMRT,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia. - DagangNews.com