KUALA LUMPUR 29 Jan – SkyWorld Development Bhd memperkenalkan Pusat Pengalaman Pembinaan Volumetrik Prabina dan Pra-Kemasan (PPVC) serta Pusat Kualiti Satelit menerusi pembukaan galeri jualan pertamanya di Pulau Pinang.
Menurut satu kenyataan syarikat berkenaan, ia terletak di Seberang Jaya, SkyWorld Gallery @ Seberang Jaya berfungsi bukan sekadar ruang pameran, tetapi hab pembelajaran dan penglibatan pelanggan yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai inovasi pembinaan SkyWorld.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, pembukaan kemudahan berkenaan menandakan pencapaian penting dalam peluasan strategik kumpulan ke Malaysia Utara.
“Dengan membawa Pusat Pengalaman PPVC dan Pusat Kualiti Satelit ke Pulau Pinang, syarikat mahu meningkatkan cara pembeli rumah menilai kualiti dan inovasi dalam kediaman SkyWorld,” katanya.
Pusat Pengalaman PPVC mempamerkan kaedah pembinaan modular menggunakan modul bangunan siap kilang yang dipasang di tapak, bertujuan mengurangkan gangguan pembinaan, mempercepat tempoh siap dan meningkatkan kecekapan serta konsistensi mutu binaan.
Sementara itu, Pusat Kualiti Satelit menekankan rangka kerja pengurusan kualiti SkyWorld, termasuk Pelan Pemeriksaan dan Ujian yang meliputi kerja-kerja sivil, struktur dan seni bina, sekali gus memberi ketelusan kepada pembeli mengenai piawaian pembinaan yang diamalkan.
Pelancaran galeri itu diberi pratonton unit pameran pembangunan SkyWorld Pearlmont, projek pegangan bebas seluas 34 ekar di Seberang Jaya yang dibangunkan di bawah inisiatif Rumah Bakat Madani.
Setakat ini, lebih 80% daripada 1,166 unit di bawah Fasa 1A telah diambil, mencerminkan penerimaan pasaran terhadap konsep pembinaan dan penawaran SkyWorld di negeri itu.
SkyWorld Pearlmont juga merupakan projek kediaman berskala besar pertama negara yang dibina menggunakan PPVC serta memperkenalkan konsep sekolah menegak pertama di Malaysia.
Antara ciri utama termasuk SkyPark bertingkat seluas 10 ekar, integrasi runcit, sasaran skor QLASSIC minimum 85%, jaminan kebocoran selama 10 tahun, serta yuran penyelenggaraan tetap RM0.18 psf untuk tempoh sedekad. - DagangNews.com








