Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 15 Julai – Timbalan Ketua Perangkawan bagi (Program Ekonomi), Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10, berkuat kuasa hari ini.

 

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin yang menamatkan perkhidmatan selepas lebih tiga dekad bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), demikian diumumkabn oleh Kementerian Ekonomi.

 

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran serta rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui DOSM dalam memperkukuh sistem statistik rasmi negara.

 

Beliau berkata, dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu dihasilkan dengan lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai bagi membolehkan kerajaan bertindak lebih awal serta melaksanakan intervensi yang lebih berkesan.

 

"Siti Asiah mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.

 

"Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Perangkawan pada 1998 dan sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Berpengalaman luas dalam statistik negara

Sebelum dilantik sebagai Ketua Perangkawan, Siti Asiah bertanggungjawab menerajui penyediaan pelbagai statistik utama negara termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.

 

Sepanjang kerjayanya, beliau turut memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif strategik negara, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU), penyediaan statistik kos sara hidup serta pengukuhan Sistem Statistik Negara.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Selain itu, kepakaran beliau turut diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi penglibatan dalam pelbagai kumpulan kerja statistik di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN serta organisasi statistik antarabangsa.

 

Dua timbalan turut dilantik

Pada masa sama, struktur kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh menerusi pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Sosial dan Pembangunan Teknikal) serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi).

 

Kementerian Ekonomi berkata, pihaknya yakin barisan kepimpinan baharu itu akan terus memperkukuh kredibiliti statistik rasmi negara serta menyokong perancangan pembangunan yang lebih tepat, telus dan berasaskan bukti.

 

Pelantikan Siti Asiah hadir ketika peranan DOSM semakin penting dalam menyediakan data berkualiti tinggi bagi menyokong penggubalan dasar, pemantauan prestasi ekonomi serta pelaksanaan agenda pembangunan negara di tengah-tengah landskap ekonomi global yang semakin mencabar. - DagangNews.com