KUALA LUMPUR 20 April - Sistem bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan melalui rombakan menyeluruh selepas Kementerian Pengangkutan (MoT) mengarahkan tindakan segera susulan gangguan bekalan elektrik hujung minggu lalu yang mendedahkan kelemahan besar dalam daya tahan operasi lapangan terbang itu.
Gangguan voltan tinggi di pencawang Bukit Raja menyebabkan satu komponen kuasa utama terpelantik pada pukul 4.54 petang Sabtu lalu, sekali gus mencetuskan penurunan voltan yang menjejaskan operasi serta menghentikan sistem bagasi ketibaan dan pelepasan di KLIA.
Walaupun disokong oleh unit bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), enam unit turut terjejas, sekali gus memperlihatkan kelemahan ketahanan sistem tersebut.
Semakan dalaman turut mengenal pasti cabaran utama melibatkan penyelarasan operasi di lapangan, tempoh masa tindak balas serta keterlihatan sistem secara masa nyata.
Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) diaktifkan, skala gangguan yang berlaku melebihi senario sedia ada.
“MoT memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa langkah proaktif dan tegas sedang dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian berulang serta memastikan KLIA terus beroperasi pada standard kecekapan dan kebolehpercayaan tertinggi,” menurut kenyataan itu.
Kementerian menambah, nota Kabinet berhubung insiden tersebut akan dibentangkan pada Rabu ini manakala Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani diarahkan mengemukakan laporan kemajuan setiap minggu.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang menyiasat insiden itu dan akan bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan kestabilan operasi sepenuhnya serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan perkhidmatan.
Mesyuarat tergempar bincang gangguan KLIA
Kenyataan kementerian itu menyusuli mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, pegawai kanan kementerian, pengurusan MAHB, wakil syarikat penerbangan serta pasukan operasi darat.
ARTIKEL BERKAITAN: CAAM diarah siasat kerosakan sistem bagasi KLIA, hukuman boleh dikenakan terhadap MAHB
Antara pukul 5 petang hingga 10.30 malam Sabtu lalu, KLIA mengendalikan 23,769 bagasi, dengan 1,061 daripadanya tidak dimuatkan ke penerbangan masing-masing manakala 120 lagi direkodkan sebagai kehilangan pengendalian ketibaan.
Sebahagian besar bagasi berkenaan telah berjaya dihantar semula, manakala sejumlah kecil masih menunggu pelepasan atau tuntutan pemilik.
Jadual penerbangan tidak terjejas dan tiada kelewatan atau pembatalan dilaporkan, menurut kementerian itu. - DagangNews.com








