Sime Darby Property, SD Guthrie bangunkan hab industri, logistik bersepadu di Kuala Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property, SD Guthrie bangunkan hab industri, logistik bersepadu di Kuala Selangor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Nov – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) dan SD Guthrie Berhad (Guthrie) menandatangani perjanjian untuk membangunkan sebuah hab industri dan logistik generasi baharu di atas tanah pembangunan induk seluas 3,000 ekar di Kuala Selangor, Selangor melalui usaha sama (JV) dengan pegangan 50:50.

 

Pembangunan fasa pertama akan dimulakan di kawasan seluas 1,000 ekar yang meliputi estet Jalan Acob, Bukit Kerayong dan Bukit Cherakah milik Guthrie, melalui penubuhan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi menggerakkan kerjasama tersebut.

 

"Pembangunan ini terletak di kawasan pertumbuhan utama yang strategik, hanya 40 minit dari Pelabuhan Klang dan berdekatan dengan Bandar Bukit Raja (BBR) – sebuah perbandaran anugerah hasil pembangunan Sime Darby Property – dengan akses terus kepada rangkaian pengangkutan utama termasuk Lebuhraya Pesisiran Barat (WCE) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada masa hadapan," kata syarikat tersebut dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, usaha sama ini mengukuhkan hala tuju strategik baharu Guthrie untuk menjalin kerjasama sinergi yang dapat membuka nilai sebenar pegangan tanah syarikat, khususnya di kawasan Selangor, sambil memastikan pertumbuhan dan pembangunan mampan untuk negeri tersebut.

 

“Guthrie telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara selama beberapa dekad. Guthrie akan terus menyokong aspirasi negara sambil menjaga kepentingan pemegang saham,” katanya.

 

Beliau menambah Guthrie teruja untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan koridor pedalaman yang menggabungkan industri, logistik dan kelestarian bagi mewujudkan ekosistem industri masa depan yang holistik.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, kerjasama ini memberi peluang kepada Sime Darby Property untuk melaksanakan perancangan induk secara menyeluruh serta membangunkan perbandaran masa depan yang berdaya tahan bagi memenuhi gelombang permintaan baharu dalam sektor industri dan logistik.

 

“Pembangunan ini akan mendorong pertumbuhan ekonomi mampan di sepanjang koridor industri Selangor. Dengan kelebihan dari segi sambungan dan infrastruktur, kami mampu menawarkan penyelesaian industri bersepadu untuk rantaian bekalan serantau serta sektor berpotensi tinggi. 

 

"Usaha sama strategik ini juga akan menjana nilai jangka panjang untuk kedua-dua syarikat, sambil memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan industri negara,” katanya.

 

Kerjasama ini akan memanfaatkan kepakaran Sime Darby Property dalam membangunkan ekosistem industri mampan bernilai tinggi yang menarik minat rakan kongsi antarabangsa, sekali gus memperkukuh landskap industri dan logistik Selangor menerusi pembangunan mercu tanda seperti Bandar Bukit Raja (BBR) – perbandaran seluas 5,333 ekar yang terkenal dengan reka bentuk lestari dan ekosistem industrinya yang pesat.

 

Hampir 60% daripada pegangan tanah BBR diperuntukkan untuk kegunaan industri, menjadikannya lokasi kepada taman perindustrian terurus pertama di Malaysia yang menerima penarafan GreenRE Platinum. 

 

BBR kini menjadi destinasi pilihan syarikat multinasional yang mencari infrastruktur siap sedia, sambungan yang kukuh dan pembangunan yang sejajar dengan piawaian ESG.

 

Berteraskan kejayaan kerjasama Guthrie–Sime Darby Property di Pulau Carey yang diumumkan awal tahun ini, kolaborasi terbaharu ini menyokong strategi pembangunan koridor pertumbuhan wilayah yang meliputi kawasan dari Klang dan Kapar hingga ke Pulau Carey – menghubungkan aktiviti industri daratan dengan aspirasi pembangunan bandar pelabuhan baharu negeri Selangor.

 

Dengan rancangan kerajaan untuk membangunkan pelabuhan bertaraf dunia di Pulau Carey yang strategik berhampiran Pelabuhan Klang dan Pulau Indah, Selangor berada pada kedudukan kukuh untuk mengukuhkan statusnya sebagai hab maritim dan logistik utama Malaysia.

 

Selaras dengan pelan induk industri baharu negara, pembangunan ini mencerminkan visi bersama kedua-dua syarikat untuk menjana nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan. 

 

Pembangunan holistik ini dijangka memperkukuh pengelompokan rantaian bekalan, merangsang perusahaan serantau, serta menjana nilai sosioekonomi mampan untuk komuniti setempat.

 

Kedua-dua syarikat akan membuat pengumuman lanjut apabila terdapat perkembangan material mengenai projek ini. - DagangNews.com