Sime Darby Property lancar dana patuh syariah bernilai RM1.25 bilion bagi pembangunan pusat data, logistik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property lancar dana patuh syariah bernilai RM1.25 bilion bagi pembangunan pusat data, logistik

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Sime Darby Property Berhad melancarkan dana pembangunan hartanah kedua syarikat itu dikenali sebagai New Economy Venture (NEV) selepas berjaya memperoleh komitmen modal 100% pada penutupan pertama dana berkenaan.

 

Platform dana pelaburan tertutup patuh syariah itu mempunyai saiz dana sehingga RM1.25 bilion dengan tempoh hayat selama lima tahun.

 

Sime Darby Property berkata, dana tersebut akan melabur dalam pembangunan pusat data yang dibina untuk disewa serta projek perindustrian dan logistik di kawasan perbandaran utama milik syarikat itu di Malaysia.

 

“Antara pelabur institusi yang menyokong dana berkenaan ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sime Darby Property akan bertindak sebagai rakan kongsi am dan penaja dana, selain turut membuat komitmen pelaburan bersama sebanyak RM500.1 juta pada penutupan pertama dana tersebut.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata pelancaran NEV adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan transformasi syarikat di bawah strategi SHIFT32.

 

Beliau berkata, sebagai rakan kongsi am dan pengurus dana, langkah itu membolehkan Sime Darby Property mempelbagaikan sumber pendapatan berulang menerusi hasil pelaburan dan pendapatan berasaskan yuran daripada pembangunan aset ekonomi baharu seperti pusat data dan gudang.

 

“Aset ekonomi baharu berkenaan kini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran hartanah Malaysia selaras dengan pertumbuhan sektor digital dan logistik,” katanya.

 

Setakat ini, dana itu telah memperoleh dua aset permulaan yang terletak di Elmina Business Park dan City of Elmina.

 

Sime Darby Property berkata, aset permulaan tersebut merangkumi kira-kira 85% daripada sasaran saiz dana dan disokong oleh pengaturan pajakan jangka panjang.

 

Kerja pembinaan bagi kedua-dua aset itu telah dimulakan dan dijangka siap pada separuh kedua tahun 2027, sekali gus memberikan keterlihatan penggunaan dana yang lebih segera.

 

Menurut syarikat itu lagi, penubuhan NEV sejajar dengan strategi SHIFT32 yang bertujuan memperluaskan keupayaan pengurusan pelaburan serta meningkatkan pendapatan berulang dengan memanfaatkan modal institusi pihak ketiga.

 

Bahagian pelaburan dan pengurusan aset Sime Darby Property kini menguruskan kira-kira RM4.4 bilion aset di bawah pengurusan, disokong oleh pajakan jangka panjang pusat data berskala besar yang bermula pada April 2026.

 

Azmir berkata, pelancaran NEV merupakan langkah penting dalam memperluaskan perniagaan pengurusan pelaburan dan dana Sime Darby Property, selain syarikat kekal memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang kepada pelabur dan pemegang kepentingan. - DagangNews.com