Silver Ridge raih kontrak RM42.88 juta bekal komputer riba kepada guru di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Silver Ridge raih kontrak RM42.88 juta bekal komputer riba kepada guru di Sarawak

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Dis - Silver Ridge Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM42.88 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membekalkan komputer riba kepada guru-guru di sekolah serta institusi pendidikan di Sarawak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Silver Ridge Sdn Bhd, telah menerima surat setuju terima bertarikh 16 Disember 2025 bagi penganugerahan tender Zon 2 di Sarawak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kontrak tersebut dianugerahkan berdasarkan konsep pajakan kepada pemilikan (lease to own) dan akan berkuat kuasa selama 64 bulan bermula 1 Januari 2026 hingga 30 April 2031.

 

Menurut Silver Ridge, kontrak itu melibatkan tempoh awal selama empat bulan bagi kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan, sebelum diteruskan dengan tempoh pajakan selama 60 bulan.

 

 

 

 

 

Syarikat itu turut memaklumkan bahawa kontrak berkenaan adalah sebahagian daripada urusan perniagaan biasa kumpulan dan dijangka memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan serta pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

 

Penganugerahan kontrak ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Silver Ridge dalam segmen penyediaan penyelesaian teknologi maklumat kepada sektor pendidikan, khususnya di Malaysia Timur. - DagangNews.com