Silver Ridge peroleh sub-kontrak kerja mengecat RM3.64 juta di Pulau Pinang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Silver Ridge peroleh sub-kontrak kerja mengecat RM3.64 juta di Pulau Pinang

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan – Silver Ridge Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Ingress Delta Construction Sdn Bhd (IDC) memperoleh sub-kontrak bernilai RM3.64 juta daripada Nam Lean Construction Sdn Bhd. 

 

Sub-kontrak ini melibatkan pembekalan tenaga kerja dan bahan untuk kerja mengecat bagi projek pembangunan perumahan strata di Georgetown, Pulau Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Silver Ridge berkata projek tersebut merangkumi 239 unit kediaman termasuk 32 rumah teres empat tingkat serta 207 townhouse tiga dan dua tingkat. 

 

“Projek ini turut merangkumi sembilan unit rumah pameran dan kemudahan komuniti yang lain.

 

“Kerja dijadualkan bermula pada 10 Mac 2026 dengan tarikh siap dijangka pada 31 Disember 2027,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Menurut kenyataan syarikat, skop sub-kontrak ini selaras dengan aktiviti perniagaan biasa Kumpulan SRHB dan dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Pembangunan strata adalah projek di mana setiap unit kediaman dimiliki secara individu, manakala kawasan dan kemudahan bersama dikongsi oleh semua penghuni melalui badan pengurusan strata. 

 

Lembaga Pengarah SRHB memaklumkan bahawa tiada impak material terhadap struktur modal syarikat atau pegangan saham utama akibat sub-kontrak ini.

 

Selain itu, tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan mempunyai kepentingan dalam sub-kontrak berkenaan. - DagangNews.com