Siasatan kes IJM: SPRM sahkan kerjasama dengan pihak berkuasa UK | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siasatan kes IJM: SPRM sahkan kerjasama dengan pihak berkuasa UK

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KOTA BHARU 22 Jan — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung dakwaan melibatkan dana berjumlah RM2.5 bilion berkaitan IJM Corp Bhd masih berjalan, dengan kes itu turut disiasat oleh pihak berkuasa luar negara, termasuk dari United Kingdom.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat pagi ini  tiada maklumat terbaharu yang boleh didedahkan kepada umum, namun beliau menegaskan siasatan tersebut tidak hanya dijalankan oleh SPRM semata-mata.

 

“Kita telah menjalankan siasatan dan saya telah nyatakan berhubung isu RM2.5 bilion ini sedang disiasat. Perlu difahami, bukan hanya kita sahaja yang menyiasat

 

"Malah pihak berkuasa United Kingdom melalui Serious Fraud Office (SFO) turut menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan dan maklumat yang diperoleh juga datang daripada pihak berkuasa negara tersebut.

 

“Mereka (United Kingdom) juga sedang menyiasat isu RM2.5 bilion ini. Permohonan bantuan dan maklumat telah dihantar kepada kami dan sebagai agensi penguatkuasaan dalam negara, SPRM menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat kes rasuah serta jenayah kewangan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna Rasuah SPRM bersama media zon Pantai Timur di sini hari ini.

 

 

Tambahnya, apabila siasatan telah dimulakan oleh pihak berkuasa luar, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memberikan kerjasama penuh selaras dengan obligasi antarabangsa.

 

“Jika negara luar sudah menjalankan siasatan, kita juga perlu membantu dan bekerjasama,” jelasnya.

 

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian pasaran susulan cadangan pengambilalihan IJM oleh Sunway Bhd, dengan penganalisis sebelum ini memberi amaran kemungkinan kelewatan atau implikasi terhadap urus niaga tersebut bergantung kepada perkembangan siasatan.

 

Setakat ini, SPRM belum mendedahkan sebarang pihak yang telah didakwa atau tempoh masa siasatan akan diselesaikan. - DagangNews.com