Sentoria, anak syarikat diperintah bayar RM8.69 juta kepada Al Rajhi Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentoria, anak syarikat diperintah bayar RM8.69 juta kepada Al Rajhi Bank

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Sept - Sentoria Group Bhd dan anak syarikat milik penuhnya, Sentoria Harta Sdn Bhd, telah menerima penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar sejumlah RM8.69 juta kepada Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pihaknya diserahkan salinan penghakiman bertarikh 9 September 2025 oleh firma guaman Messrs Shearn Delamore & Co., yang bertindak bagi pihak Al Rajhi Bank.

 

Di bawah keputusan tersebut, defendan perlu membayar tunggakan pinjaman berjumlah RM5.73 juta (CIB7572), RM868,806 (CIB7936), RM558,217 (CIB8392) dan RM1.52 juta (CIB8619).

 

Selain itu, mereka turut diarahkan membayar yuran penilaian sebanyak RM6,700 bagi hartanah yang dicagarkan serta kos guaman RM1,700.

 

Secara keseluruhan, jumlah yang diperintahkan untuk dibayar mencecah RM8,688,396.38.

 

Penghakiman itu melibatkan beberapa fasiliti kredit yang diberikan oleh Al Rajhi Bank kepada Sentoria Harta, anak syarikat yang terlibat dalam pembangunan hartanah kumpulan tersebut. - DagangNews.com