KUALA LUMPUR 4 Okt – Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan ditahan oleh tentera Israel telah dibebaskan sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, para sukarelawan kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel sebelum menaiki penerbangan khas ke Istanbul, Turkiye.
Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri dalam pengumuman khas yang disiarkan menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Anwar berkata, kumpulan itu akan menginap di Istanbul satu atau satu setengah hari untuk pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan rejim zalim Israel yang bertindak agak keras kepada mereka.
"Saya setuju dan mereka akan dilepas pulang mungkin esok malam ataupun lusa (Isnin). Itu kita akan aturkan," katanya.
Misi GSF merupakan inisiatif bantuan kemanusiaan yang dikendalikan oleh pertubuhan masyarakat sivil antarabangsa bagi menyalurkan bantuan ke Gaza.
Penahanan sukarelawan tersebut mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak termasuk keluarga dan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan misi tersebut secara dekat.

Difahamkan, ketibaan mereka di Istanbul akan disambut oleh wakil-wakil dari Wisma Putra sebelum urusan kepulangan ke tanah air diselaraskan. - DagangNews.com








