KOTA BHARU 23 Jan – Enam pemilik syarikat yang menjadi dalang dalam aktiviti menyeludup sisa elektronik (e-sisa) ke negara ini telah ditahan reman dan sebanyak 14 akaun bernilai RM7.2 juta turut dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya kini sedang memburu dua lagi pemilik syarikat yang dipercayai turut terlibat dalam aktiviti penyeludupan tersebut.
“Tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Setakat ini, SPRM mengenalpasti tujuh syarikat di Selangor yang terlibat dalam aktiviti ini dan beberapa syarikat lagi di sekitar Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut sudah pun beroperasi kira-kira lima tahun lalu.
Beliau bagaimanapun tidak menuding jari kepada pihak kastam memandangkan pelbagai taktik digunakan oleh syarikat tersebut untuk menyeludup e-sisa ke negara ini.
“Bayangkan lebih 3,000 kontena perlu dikendalikan di pelabuhan setiap hari. Pemeriksaan sangat kompleks.
“Isu ini sangat serius kerana Malaysia bukanlah tempat pembuangan sampah, malah ia tidak sepatutnya berlaku kerana mengikut undang-undang negara kita memang tidak membenarkan kemasukan e-sisa ini,” ujarnya.
Beliau menegaskan SPRM akan menjejak semula kewangan syarikat tersebut sepanjang aktiviti penyeludupan tersebut berjalan untuk mendapatkan semula hasil keuntungan itu. - DagangNews.com








