Selgate perluas akses rujukan pesakit antarabangsa melalui kerjasama strategik Stratgeist dari Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selgate perluas akses rujukan pesakit antarabangsa melalui kerjasama strategik Stratgeist dari Singapura

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 JanSelgate Specialist Hospital Rawang (SSH Rawang) menjalin kerjasama strategik rujukan pesakit antarabangsa secara tidak eksklusif bersama Stratgeist Pte Ltd dari Singapura.


Menurut kenyataan syarikat tersebut, usaha berkenaan menandakan langkah permulaan penting dalam memperluaskan akses rentas sempadan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar di Malaysia.


Kerjasama ini menjadikan SSH Rawang sebagai hospital penerima utama pesakit antarabangsa, dengan fokus awal kepada pasaran Indonesia, sebelum diperluas secara berperingkat ke negara jiran lain.


"Stratgeist menyediakan sokongan bukan perubatan, pentadbiran dan logistik, manakala semua aspek klinikal, diagnosis dan rawatan di bawah tanggungjawab profesional perubatan SSH Rawang," katanya.


Kerjasama ini menyasarkan pesakit yang memerlukan pendapat kedua, rawatan pembedahan dan kepakaran dalam bidang pembedahan am, onkologi, kardiologi, neurologi, ortopedik dan gastroenterologi.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth, setiap tahun lebih 1,000 pesakit dari Indonesia dirujuk ke Malaysia dan Singapura melalui rangkaian firma Stratgeist.


Justeru kerjasama itu mewujudkan laluan rawatan yang lancar dan berintegriti, menjadikan SSH Rawang sebagai destinasi pilihan pesakit yang mencari penjagaan peribadi berkualiti tinggi di Malaysia.


"Pusat perubatan ini beroperasi sejak Oktober 2025, dengan kapasiti 224 katil, menawarkan kepakaran ortopedik, kardiologi, kesihatan wanita dan kanak-kanak serta diagnostik lanjutan," katanya.


Hospital ini juga jelas Noor Hisham, disokong oleh ekosistem bersepadu Selgate Healthcare, yang merangkumi perkhidmatan primer, farmasi, makmal diagnostik, dan kejururawatan terus di rumah.


Pendekatan integrasi tersebut juga tambah beliau, menyediakan rumusan kesihatan secara digital untuk memastikan kesinambungan penjagaan sebelum, semasa dan selepas rawatan kepada pesakit.


Menerusi perjanjian dimeterai bersama Stratgeist, Selgate menegaskan komitmen jangka panjangnya untuk memperluaskan lagi perkhidmatan pesakit antarabangsa merentasi rangkaian hospitalnya


"Kumpulan ini turut mengekalkan tadbir urus klinikal dan standard pengalaman pesakit secara konsisten, yang berlandaskan prinsip 'Setiap Nyawa Amat Bermakna," kata kenyataan tersebut.


Selgate merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), manakala SSH Rawang adalah jenama pertama di bawah kumpulan tersebut. - DagangNews.com