KUALA LUMPUR 17 Nov - Selangor menyasarkan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dalam tempoh lima tahun akan datang, Dewan Undangan Negeri diberitahu pada Isnin.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata negeri itu berada pada fasa awal penerokaan teknologi tersebut, termasuk membina kepakaran teknikal.
“Jika kita boleh meneruskannya, tempoh paling awal adalah sekitar lima tahun. Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, termasuk menghantar pegawai yang dilatih dalam bidang berkaitan nuklear.
“Kami juga akan mendapatkan pandangan universiti tempatan. Beberapa institusi, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah menghubungi bagi meneroka kemungkinan kerjasama.
“Inilah antara langkah awal kami,” katanya sebagai menjawab soalan Mariam Abdul Rashid (PH–Meru) mengenai rancangan dan garis masa negeri untuk melaksanakan tenaga bersih berasaskan nuklear sepenuhnya.
Amirudin berkata bidang pengajian nuklear masih kurang dibangunkan di Malaysia, menyebabkan sesetengah pelajar mencari peluang di luar negara.
“Saya sendiri telah bertemu dengan pelajar kita di Universiti Tsinghua di China. Mereka meneroka bidang ini atas usaha sendiri kerana tenaga nuklear masih dianggap sebagai sektor yang tidak sesuai diterokai di sini.
“Tetapi masa depan menuntut kita bersedia. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil seperti gas dan arang batu yang kurang mampan berbanding nuklear,” katanya.
Bagaimanapun, Amirudin menegaskan aspek keselamatan, risiko kebocoran dan persepsi awam masih menjadi isu utama yang perlu ditangani dengan jelas, sambil menambah bahawa pengalaman Jerman memberikan pengajaran berguna untuk Malaysia. - BERNAMA








