SHAH ALAM 23 Sept – Kerajaan Negeri Selangor melancarkan pelan tindakan komprehensif bagi mentransformasikan industri kreatif negeri dengan sasaran pendapatan berjumlah RM20 bilion menjelang tahun 2035.
Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor ini menjadi garis panduan untuk memacu transformasi pemain industri seni, budaya dan digital di negeri tersebut, dengan sasaran pulangan RM20 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, pelan tindakan itu dijangka dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada November nanti.
Beliau menegaskan sektor ekonomi kreatif wajar diberikan perhatian lebih besar kerana mempunyai potensi tinggi, setelah menyumbang RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurut laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Daripada jumlah keseluruhan sumbangan ekonomi kreatif negara, RM2 bilion disumbangkan oleh pemain industri kreatif di Selangor.
“Mungkin jumlah itu tidak begitu besar, tetapi ia menunjukkan bahawa negeri ini telah mampu menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara di peringkat nasional,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, skop sektor berkenaan kini telah berkembang jauh melepasi batasan tradisional.
“Sektor ini bukan lagi semata-mata berkisar kepada seni dan budaya, sebaliknya turut melibatkan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pemacu ekonomi, pengukuhan pelancongan serta pembinaan identiti global untuk Selangor,” katanya pada sesi libat urus sempena Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen MBSA.
Najwan berkata, pelancaran pelan tindakan ini juga selaras dengan seruan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk membangunkan sektor ekonomi kreatif negeri sebagaimana yang digariskan dalam Belanjawan Negeri tahun lalu.
Kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa pemangkin utama untuk mencapai matlamat tersebut.
Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Kreatif Selangor menjelaskan, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi meletakkan Selangor sebagai ‘trendsetter’ dalam sektor ekonomi kreatif yang turut diiktiraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Bagi merealisasikan sasaran ini, enam pemangkin utama dikenal pasti iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses kepada pembiayaan, infrastruktur, akses pasaran dan tadbir urus yang kukuh, disokong oleh tiga strategi utama, bermula dengan pertumbuhan ekonomi mampan bagi memacu inovasi, keusahawanan serta peluang eksport,” katanya.
Strategi berkenaan turut menekankan kepada peluasan penyertaan dan pemeliharaan warisan budaya.
“Strategi kedua adalah penyertaan inklusif bagi memperkasa bakat tempatan dan memperluas akses kepada platform kreatif, manakala strategi ketiga ialah pemeliharaan warisan budaya untuk memperkukuh identiti unik Selangor melalui pemuliharaan, pelancongan dan penglibatan awam,” jelasnya.
Pelan tindakan ini dilancarkan seiring dengan penganjuran pameran ekonomi kreatif berskala besar.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan SCEE25 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Pelbagai program turut diadakan sepanjang acara, termasuk sesi libat urus, forum, bengkel, pameran, platform padanan perniagaan CRE8Biz Xchange, dana mikro kreatif CRE8Fund, persembahan CRE8Stage serta sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU). - BERNAMA








