KUALA LUMPUR 13 Jan – Selangor Dredging Berhad (SDB) melalui anak syarikat milik penuhnya, SDB Subang Development Sdn Bhd, memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi memperoleh sebidang tanah komersial pegangan bebas di Petaling Jaya pada harga RM63 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SDB berkata SPA itu dimeterai pada 13 Januari 2026 dengan Hectare Square Sdn Bhd bagi pembelian tanah seluas kira-kira 1.214 hektar di Lot 541, Jalan Subang 2, Taman Industri Penaga, Selangor, termasuk bangunan sedia ada di atas tanah tersebut.
Harga belian ditentukan berdasarkan prinsip persetujuan bersama selepas mengambil kira penilaian bebas oleh PA International Property Consultants (KL) Sdn Bhd, yang meletakkan nilai pasaran hartanah itu pada RM59 juta.
Pembayaran harga belian akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh SPA. Daripada jumlah tersebut, 3 peratus atau RM1.89 juta dibayar sebagai wang penahanan cukai keuntungan harta tanah (RPGT), manakala RM6.31 juta dianggap telah dibayar melalui kaedah set-off susulan penamatan perjanjian terdahulu antara kedua-dua pihak.
Baki harga belian sebanyak RM54.8 juta akan diselesaikan melalui gabungan pengaturan kontra dan bayaran tunai. Sebanyak RM12.6 juta akan dibayar menerusi pengaturan kontra melibatkan unit kediaman atau bercampur yang belum terjual daripada projek dalam kumpulan SDB, manakala RM42.2 juta akan dibayar secara tunai sebagai tranche akhir.
SDB memaklumkan bahawa sekiranya tranche akhir tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan, lanjutan selama satu bulan akan diberikan dengan kadar faedah 8 peratus setahun, dan lanjutan selanjutnya tertakluk kepada persetujuan bersama.
Dari segi pembangunan, SDB menjangkakan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM507 juta bagi cadangan pembangunan di atas tanah tersebut.
Tanah berkenaan terletak dalam kawasan perindustrian dan komersial yang matang, dengan akses terus ke Jalan Subang 2 serta dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Persekutuan, KESAS, NPE, LDP dan ELITE.
Lokasi itu juga berada berhampiran Stesen LRT USJ 7 dan terletak dalam zon Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), menjadikannya strategik untuk pembangunan berintensiti tinggi.
SDB bercadang membangunkan tanah berkenaan sebagai projek pangsapuri servis bertingkat tinggi yang menampilkan ruang terbuka luas serta kemudahan mesra keluarga.
Bagaimanapun, kos pembangunan, tarikh mula dan siap projek serta unjuran keuntungan masih belum dimuktamadkan kerana pelan pembangunan terperinci masih dalam peringkat kajian.
Dari segi kewangan, pemerolehan ini tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan Kumpulan SDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan dalam jangka sederhana dan panjang. Nilai aset bersih kumpulan juga dijangka tidak terjejas secara material.
Walau bagaimanapun, nisbah penggearan bersih Kumpulan SDB dijangka meningkat sebanyak 2.44 mata peratus kepada 31.62 peratus selepas pemerolehan tersebut.
Pemerolehan ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerajaan. Tertakluk kepada tiada keadaan luar jangka, urus niaga berkenaan dijangka disempurnakan menjelang suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027. - DagangNews.com








