Sektor teknologi hadapi ujian prestasi suku ketiga, kegagalan capai sasaran boleh cetus ketidaktentuan harga saham — HLIB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor teknologi hadapi ujian prestasi suku ketiga, kegagalan capai sasaran boleh cetus ketidaktentuan harga saham — HLIB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Okt - Sebarang kegagalan dalam mencapai sasaran pendapatan atau panduan masa depan dalam sektor teknologi boleh mencetuskan ketidaktentuan harga saham, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Malah firma pelaburan itu memberi amaran, situasi ketidaktentuan itu mungkin lebih teruk berbanding suku sebelumnya.

 

"Pelabur kini semakin berhati-hati dan menuntut bukti nyata bahawa kenaikan harga saham adalah wajar,” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

HLIB berkata, sektor teknologi tempatan bersiap sedia untuk menghadapi musim laporan kewangan suku ketiga 2025 (3Q25) dengan jangkaan keputusan yang memberangsangkan, disokong oleh faktor bermusim dan ketiadaan tarif cip baharu setakat ini.

 

Bagaimanapun, katanya, sentimen optimis ini turut disertai dengan tekanan jangkaan tinggi dalam kalangan pelabur, khususnya berikutan lonjakan penilaian saham teknologi sejak beberapa bulan lalu.

 

“Kami menjangkakan syarikat teknologi Malaysia akan membentangkan prestasi yang kukuh bagi suku ketiga, hasil daripada kekuatan bermusim dan ketiadaan tarif cip sehingga kini. 

 

"Namun, ruang untuk kesilapan sangat sempit kerana penilaian sektor telah meningkat dengan ketara sejak paras terendah pada April,” kata firma itu.

 

Indeks teknologi KLTEC dilaporkan meningkat sebanyak 63% sejak April 2025, mencerminkan lonjakan minat pelabur terhadap tema kecerdasan buatan (AI) dan pemulihan permintaan global terhadap semikonduktor. 

 

Namun, HLIB menegaskan sentimen peningkatan itu memerlukan sokongan daripada asas kewangan yang kukuh, bukan sekadar sentimen.

 

Firma itu turut menjangkakan tiada panduan rasmi mengenai kesan tarif cip global, namun menyatakan petunjuk daripada sektor utama seperti automotif, industri, dan pengguna boleh digunakan sebagai gambaran awal, terutamanya selepas tarif balas AS mula dikuatkuasakan pada Ogos lalu.

 

HLIB turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan penilaian semula dasar tarif di bawah Seksyen 232 Amerika Syarikat, yang boleh memberi impak langsung terhadap prospek sektor teknologi Malaysia menjelang tahun 2026.

 

“Melihat lebih mendalam, risiko ini masih wujud dan boleh menjadi penyebab utama perubahan sentimen pelabur dalam masa terdekat," katanya.

 

Oleh itu dalam nada berhati-hati, HLIB mengekalkan penarafan "neutral" terhadap sektor ini pada masa ini, sambil mengesyorkan pendekatan pelaburan yang lebih selektif.

 

Syarikat yang mempunyai pendapatan berulang yang kukuh kekal menjadi pilihan utama HLIB termasuk ITMAX System Bhd dan SMRT Holdings Bhd.

 

HLIB juga menyarankan pendedahan langsung kepada syarikat penyedia peralatan semikonduktor front-end yang mempunyai asas kukuh seperti Frontken Corporation Bhd dan UWC Bhd. - DagangNews.com