Sektor penjagaan kesihatan masih mempunyai potensi pertumbuhan organik di sebalik cabaran kawal selia – CIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan masih mempunyai potensi pertumbuhan organik di sebalik cabaran kawal selia – CIMB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 6 Okt – Sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia masih mempunyai ruang pertumbuhan organik meskipun berdepan cabaran daripada landskap kawal selia semasa, kata CIMB Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prospek pertumbuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta sentiasa positif dipacu oleh peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta pertambahan populasi warga emas di negara ini.

 

Firma itu menjangkakan kapasiti katil hospital swasta di Malaysia bakal berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) antara 4% hingga 5% dari 2023 hingga 2028, disokong oleh pelbagai projek pengembangan yang sedang dan akan dijalankan.

 

"Ini adalah berdasarkan kadar katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia yang hanya mencatat 2.0, jauh lebih rendah berbanding penanda aras pasaran maju iaitu 2.5," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

CIMB Research berkata, keputusan KPJ Healthcare Bhd dan IHH Healthcare Bhd masing-masing merancang untuk menambah kapasiti katil sebanyak 53% dan 43% menjelang tahun 2029 dan 2028, sekali gus meningkatkan jumlah kapasiti kepada 6,000 dan 4,978 katil.

 

Sebagai rujukan, kapasiti keseluruhan katil hospital swasta di Malaysia setakat 2023 dianggarkan berjumlah 18,779 katil, dan dijangka meningkat kepada antara 23,000 hingga 24,000 katil menjelang 2028 apabila hospital baharu mula beroperasi dan fasiliti sedia ada diperluas.

 

CIMB Research menambah, faktor tambahan yang bakal merancakkan pertumbuhan sektor ini adalah pelancongan kesihatan (HT).

 

Malaysia menerima kedatangan 1.6 juta pelancong kesihatan pada tahun 2024, meningkat 14% berbanding tahun sebelumnya, dengan pelancong dari Indonesia menyumbang antara 70% hingga 80% daripada jumlah pendapatan sektor tersebut.

 

Malaysia menyasarkan ketibaan lebih 4.3 juta pelancong dari Indonesia pada 2025 dan 4.7 juta pada 2026, bersempena dengan penganjuran Malaysia Year of Medical Tourism 2026.

 

“Pengendali hospital swasta yang terlibat dalam pelancongan kesihatan dijangka meraih manfaat daripada kempen ini,” tambah CIMB Research.

 

Firma itu turut menjangakakan pendapatan hasil pelancongan kesihatan menyumbang sebanyak 6% dan 12% kepada hasil KPJ dan IHH masing-masing pada suku kedua tahun kewangan 2025 — mencerminkan pertumbuhan stabil hasil strategi syarikat menarik pesakit antarabangsa menerusi kerjasama dengan pusat rujukan luar negara serta penubuhan pusat perubatan unggul (flagship centres).

 

Dalam pada itu, CIMB Research memberitahu pelaksanaan rangka kerja baharu berdasarkan Kumpulan Diagnosis Berkaitan (DRG) bagi hospital swasta telah ditangguhkan ke tahun 2027.

 

Penangguhan ini bertujuan memberi laluan kepada pelaksanaan produk insurans kesihatan baharu di bawah Skim Insurans Kesihatan Nasional yang akan diperkenalkan oleh kerajaan. - DagangNews.com