SD Guthrie, Sime Darby Property mula bangunkan hab perindustrian mega Kuala Selangor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SD Guthrie, Sime Darby Property mula bangunkan hab perindustrian mega Kuala Selangor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Julai - SD Guthrie Bhd memulakan pelaksanaan pembangunan koridor perindustrian dan logistik mega di Kuala Selangor apabila menyuntik tanah seluas 1,021.93 ekar di Ladang Bukit Kerayong, Kapar bernilai RM798.3 juta ke dalam syarikat usaha sama (JV) dengan Sime Darby Property Bhd.

 

Menerusi pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat usaha sama milik 50:50 kedua-dua kumpulan, Kerayong Development Consortium Sdn. Bhd., telah memeterai perjanjian untuk memperoleh tanah pertanian pegangan bebas itu daripada SD Guthrie pada harga RM798.3 juta.

 

Harga pembelian tersebut akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman yang dijana oleh syarikat usaha sama serta pembiayaan bank.

 

Sebagai sebahagian daripada transaksi itu, Sime Darby Property dan SD Guthrie masing-masing akan melabur sehingga RM100 juta bagi pegangan ekuiti mereka dalam syarikat usaha sama berkenaan.

 

Langkah itu menandakan permulaan fasa pelaksanaan pelan induk yang diumumkan pada November 2025 bagi membangunkan kira-kira 3,000 ekar tanah di Kuala Selangor sebagai taman perindustrian berat generasi baharu yang akan disokong oleh infrastruktur logistik dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Memandangkan kedua-dua syarikat mempunyai pemegang saham institusi utama yang sama iaitu Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan syarikat induknya, Yayasan Pelaburan Bumiputera, urus niaga itu diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan.

 

AmanahRaya Trustees Bhd. – Amanah Saham Bumiputera (ART-ASB) memiliki pegangan langsung sebanyak 32.7% dalam Sime Darby Property dan 37.48% pegangan kawalan dalam SD Guthrie.

 

Kerjasama strategik Buka Nilai Tanah

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, perkembangan itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membuka nilai bank tanah menerusi kerjasama strategik yang mampu menjana pulangan mampan dalam jangka panjang.

 

Menurut beliau, pembangunan Bukit Kerayong dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serantau, menyokong aktiviti perindustrian dan komersial serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan, selaras dengan aspirasi perindustrian negara.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, projek berkenaan kini memasuki fasa pelaksanaan selepas melalui peringkat perancangan.

 

Katanya, gabungan kepakaran Sime Darby Property dalam pembangunan bandar mampan dan bank tanah strategik SD Guthrie akan membolehkan pembangunan sebuah koridor perindustrian moden yang mampu memenuhi keperluan rantaian bekalan masa depan.

 

Beliau berkata, pembangunan itu dijangka menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta mengukuhkan daya saing sektor perindustrian Malaysia.

 

Koridor perindustrian tersebut terletak di kawasan pertumbuhan strategik berhampiran Pelabuhan Klang serta disokong oleh Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), sekali gus meletakkannya pada kedudukan yang sesuai untuk menjadi hab utama aktiviti perindustrian dan logistik di Selangor. - DagangNews.com