KUALA LUMPUR 19 Nov – SD Guthrie Bhd memeterai perjanjian pelupusan tanah seluas 941.82 ekar di Kulai, Johor, dengan nilai keseluruhan RM814.78 juta kepada Eco Business Park 8 Sdn Bhd (EBP8), sebuah syarikat tujuan khas yang kini dimiliki penuh oleh EcoWorld Development Group Bhd (EcoWorld)
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, selain pelupusan itu, SD Guthrie turut bekerjasama dengan EcoWorld dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd (PDT), iaitu lengan pelaburan negeri Johor, untuk membangunkan tanah tersebut menjadi taman perindustrian bersepadu Eco Business Park VIII.
Menurut perjanjian, pegangan saham EBP8 akan dibahagikan kepada PDT (10%), SD Guthrie (25%) dan EcoWorld (65%).
Pembangunan dijangka mengambil masa kira-kira 10 tahun dengan nilai pembangunan kasar (GDV) awal RM3.75 bilion.
Pembayaran jualan akan dibuat secara ansuran, bermula dengan deposit 15%, dan transaksi masih tertakluk kepada kelulusan Lembaga Tanah serta Kementerian Ekonomi.
SD Guthrie dijangka merekodkan keuntungan pelupusan sekitar RM526 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Pelupusan dijangka diselesaikan pada separuh kedua 2026.
Ini merupakan pelupusan tanah kedua SD Guthrie dalam tempoh enam bulan, selepas menjual 1,195.35 ekar tanah di Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan, bernilai RM572.76 juta kepada Eco Business Park 7 Sdn Bhd (EBP7). SPA EBP7 diselesaikan pada 25 September 2025.
Usaha sama dengan EcoWorld ini juga menandakan kerjasama kedua syarikat, selepas perjanjian pembangunan EBP7 di Malaysia Vision Valley 2.0, Negeri Sembilan, dimeterai pada April 2025. - DagangNews.com








