KUALA LUMPUR 19 Nov – Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) terus melangkah dalam penjenamaan semula strategiknya apabila mengumumkan pelupusan 100% kepentingan ekuiti dalam SCIB Concrete Manufacturing Sdn. Bhd. (SCM) kepada YTL Cement (Sarawak) Sdn. Bhd. dengan pertimbangan tunai RM113 juta.
Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) bersyarat yang dimeterai antara SCIB Holdings Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh SCIB, dan YTL Cement Sarawak — subsidiari tidak langsung YTL Corporation Bhd — menandakan langkah besar syarikat dalam keluar sepenuhnya daripada segmen pembuatan konkrit bagi memberi fokus kepada perniagaan utama pembinaan dan kejuruteraan EPCC.
"Pelupusan membabitkan 18.58 juta saham SCM itu akan dipindahkan tanpa sebarang halangan bersama semua hak yang berkaitan, dan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Opsyen Beli & Jual Tanah Bernilai RM38.19 Juta Kukuhkan Strategi Jangka Panjang
Sebelum ini, SCIB dan SCM telah menandatangani dua perjanjian penting membabitkan penyewaan serta hak membina lima lot tanah industri di Demak Laut, Kuching.
Tanah-tanah ini mempunyai nilai pra-persetujui keseluruhan berjumlah RM38.19 juta — termasuk RM24 juta untuk Lot 1166 dan 1541, serta RM14.19 juta untuk Lot 787–791.
SCM menerima opsyen untuk membeli ketujuh-tujuh lot tersebut dalam tempoh sehingga 30 tahun, manakala SCIB turut diberikan opsyen untuk menjual pada harga sama.
SCIB menjelaskan bahawa susunan ini menyokong strategi realisasi aset jangka panjangnya dan mengoptimumkan kedudukan kewangan Kumpulan.
Apabila digabungkan dengan pertimbangan pelupusan, nilai potensi yang boleh dijana SCIB mencecah RM151.19 juta.
Premium Sehingga 26.91% & Keuntungan RM11.29 Juta
Menurut SCIB, nilai RM113 juta itu bersamaan premium 14.77% berbanding aset bersih tidak diaudit SCM sebanyak RM98.46 juta (30 Jun 2025) dan premium 26.91% ke atas aset bersih diaudit RM89.04 juta (30 Jun 2024).
Transaksi itu dijangka menjana keuntungan sebanyak RM11.29 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan aset bersih syarikat serta meningkatkan pendapatan dalam jangka masa terdekat.
Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men menyifatkan pelupusan itu sebagai satu titik penting dalam perjalanan transformasi strategik Kumpulan.
“Pelupusan bahagian pembuatan membuka nilai besar kepada SCIB dan menempatkan syarikat dalam kedudukan kewangan lebih kukuh dengan lebihan tunai serta tahap gearing lebih rendah.
"Ia membolehkan kami memberi tumpuan penuh untuk mengembangkan segmen Pembinaan dan EPCC, seterusnya mengejar projek yang mampu membawa pulangan nilai lebih tinggi kepada pemegang kepentingan,” katanya.
SCIB Fokus Projek Infrastruktur Sarawak
SCIB berkata bahawa hasil pelupusan akan digunakan untuk membiayai projek pembinaan dan EPCC yang sedang berjalan dan akan datang, selain mengukuhkan modal kerja serta kapasiti operasi.
Syarikat optimis terhadap prospek sektor pembinaan kerana permintaan projek yang semakin meningkat, dipacu oleh pembangunan infrastruktur awam dan inisiatif ekonomi kerajaan negeri.
Dengan kedudukan kukuh sebagai pemain tempatan berpengalaman, SCIB yakin mampu merebut peluang daripada projek-projek berskala besar di bawah agenda pembangunan kerajaan Sarawak. - DagangNews.com








