KUALA LUMPUR 16 Okt- Risiko penipuan kewangan semakin beralih ke arah penipuan dengan kebenaran (authorised scams) yang melibatkan taktik kejuruteraan sosial, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Aznan Abdul Aziz.
Sehubungan itu, BNM dan industri kewangan telah bertindak balas dengan memperkukuh langkah-langkah pengesanan penipuan dan memperluas inisiatif kesedaran dalam kalangan orang ramai.
"Hal ini termasuk usaha berterusan untuk menaik taraf National Fraud Portal bagi mempertingkatkan pengesanan transaksi mencurigakan serta melindungi mangsa dengan lebih baik," katanya dalam kenyataan bagi mengumumkan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama Tahun 2025 hari ini.
Penipuan dengan kebenaran merujuk penipuan yang dibenarkan berlaku apabila anda diperdaya untuk menghantar wang secara sukarela kepada penipu.
Walaupun anda sendiri yang membenarkan pembayaran itu, ia tetap merupakan satu penipuan kerana ia berlaku hasil daripada penipuan atau manipulasi.
Dalam pada itu hasil tinjauan tersebut mendapati institusi kewangan terus menunjukkan daya tahan operasi yang kukuh pada separuh pertama tahun 2025.
Menurut BNM, sebagai tindak balas terhadap ancaman siber yang berterusan, institusi mempertingkatkan keupayaan keselamatan siber masing-masing, lantas menyokong pengesanan, pembendungan dan tindak balas ancaman dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Kesemua usaha ini telah membantu mengurangkan gangguan operasi dan memperkukuh kepercayaan terhadap sistem kewangan," kata laporan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Realtime Electronic Transfer of Funds and Securities System, RENTAS) dan sistem pembayaran runcit (retail payment systems, RPS) utama mengekalkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi pada separuh pertama tahun 2025, tanpa sebarang insiden operasi atau insiden siber yang serius dilaporkan.
Berikutan rangkaian pembayaran Respons Pantas (Quick Response, QR) rentas sempadan serantau yang terus berkembang, BNM akan terus memperkukuh pengawasan terhadap pengaturan pembayaran rentas sempadan.
Usaha ini akan dicapai melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa pengawalseliaan berkaitan untuk memastikan daya tahan dan keselamatan kesemua sistem ini berterusan.
Pertumbuhan Ekonomi
Institusi kewangan Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong kegiatan ekonomi pada separuh pertama tahun 2025.
Setakat akhir bulan Jun 2025, nisbah jumlah modal sistem perbankan berada pada 18.2%, dengan lebihan penampan modal sebanyak RM138.9 bilion.
Sektor insurans dan takaful juga terus mencatatkan kedudukan modal yang kukuh, dengan nisbah kecukupan modal agregat sebanyak 223% dan lebihan penampan modal sebanyak RM42 bilion.
Kesemua penampan ini memastikan bahawa institusi kewangan kekal berada pada kedudukan yang kukuh untuk menampung kerugian yang tidak dijangka dan pada masa yang sama terus memenuhi keperluan pembiayaan serta perlindungan isi rumah dan perniagaan apabila kegiatan ekonomi terus berkembang. - DagangNews.com








