SC, Bursa lancar program MY Value Up untuk tingkatkan nilai jangka panjang syarikat tersenarai awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC, Bursa lancar program MY Value Up untuk tingkatkan nilai jangka panjang syarikat tersenarai awam

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berucap pada majlis pelancaran MY Value Up di Kuala Lumpur pada 20 April 2026.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd memperkenalkan program MY Value Up, satu inisiatif kerjasama bagi menyokong syarikat tersenarai awam (PLC) di Malaysia dalam meningkatkan penciptaan nilai jangka panjang serta mentransformasikan mereka menjadi prospek pelaburan yang lebih menarik di peringkat global.

 

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata MY Value Up adalah selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030, yang mencerminkan komitmen bersama SC dan Bursa dalam memupuk landskap korporat yang lebih dinamik.

 

Secara asasnya, program MY Value Up bertujuan menggalakkan PLC untuk mengambil pendekatan yang lebih sedar dan proaktif dalam menyampaikan kisah pertumbuhan syarikat mereka.

 

“Dengan menggalakkan syarikat untuk memperjelaskan serta mendedahkan strategi jangka sederhana hingga jangka panjang, MY Value Up membantu PLC mempamerkan aspirasi korporat yang lebih kukuh dan memudahkan penglibatan yang lebih bermakna dengan pelabur domestik serta serantau,” menurut kenyataan itu.

 

Ia juga diterjemahkan kepada pendedahan yang lebih telus dan berpandangan jauh, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong keputusan peruntukan modal yang lebih berinformasi.

 

Buku Panduan

Bagi menyokong pelaksanaan program ini, sebuah buku panduan yang menggariskan jangkaan di bawah MY Value Up akan diterbitkan pada separuh pertama tahun ini.

 

Sebanyak 88 PLC yang terpilih di bawah program ini secara kolektif mewakili 80% daripada permodalan pasaran syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, dengan setiap satu mempunyai permodalan pasaran minimum sekitar RM4 bilion.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pelan induk baharu itu menetapkan visi berani ke arah pasaran modal yang lebih dinamik dan berdaya saing.

 

“Matlamat kami adalah untuk bergerak bersama daripada budaya pematuhan semata-mata kepada budaya penciptaan nilai yang aktif. Ini adalah masa yang sesuai untuk PLC utama kita memperluaskan perspektif dan menanda aras diri dengan yang terbaik, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat serantau dan global,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata inisiatif ini akhirnya akan menyokong penemuan harga yang lebih berkesan serta menyumbang kepada pasaran modal yang lebih rancak, yang mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada nilai korporat jangka panjang. - DagangNews.com