Sasbadi teroka kerjasama strategik AI pendidikan bersama Intel, Maistorage | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sasbadi teroka kerjasama strategik AI pendidikan bersama Intel, Maistorage

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 28 Jan – Sasbadi Holdings Bhd sedang meneroka potensi kerjasama strategik dalam sektor teknologi pendidikan melalui memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak bersama Intel Microelectronics (M) Sdn Bhd dan Maistorage Technology Sdn Bhd.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Sasbadi berkata, MoU berkenaan menetapkan rangka kerja untuk ketiga-tiga pihak meneroka kerjasama bagi penyampaian bersama persekitaran pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang bersifat hibrid dan pendekatan utamakan luar talian untuk sektor pendidikan di Asia Tenggara.

 

Menurut Sasbadi, kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran teknologi Intel, platform AI Maistorage serta kekuatan Sasbadi dalam kandungan pendidikan K-12.

 

Skop kerjasama yang dicadangkan merangkumi penggunaan platform pusat akses kandungan (CAP) bagi membolehkan penyimpanan setempat dan akses luar talian kepada kandungan pendidikan. 

 

Ia turut melibatkan integrasi platform dan teknologi AI bagi rujukan masa nyata secara setempat pada peranti, selain pembangunan bersama serta penyesuaian penyelesaian pendidikan selaras dengan pelan induk nasional negara-negara Asia Tenggara, bermula dengan Malaysia.

 

Menurut Sasbadi, MoU itu menyediakan asas bagi syarikat meneroka potensi kerjasama strategik dengan rakan teknologi yang mantap dalam bidang penyelesaian pembelajaran digital berasaskan AI.

 

“Ia selaras dengan strategi syarikat untuk meningkatkan kebolehcapaian kandungan melalui infrastruktur hibrid dan luar talian, selain menyokong usaha pemodenan infrastruktur pendidikan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, sejajar dengan strategi pertumbuhan digital syarikat,” katanya dalam pemakluman itu. - DagangNews.com