Sarawak rangka pelan pemerkasaan kewangan 38 GLC dan badan berkanun negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak rangka pelan pemerkasaan kewangan 38 GLC dan badan berkanun negeri

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Okt – Kerajaan Negeri Sarawak melaksanakan kajian Roadmap Towards Financial Self-Reliance for State Statutory Bodies and Government-Linked Companies (2026–2030) yang bertujuan mengukuhkan daya saing dan kelestarian kewangan 38 badan berkanun dan syarikat milik kerajaan (GLC) negeri itu.

 

Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar berkata, kajian komprehensif itu akan mengenal pasti cabaran utama, merangka inisiatif transformasi, dan merintis laluan ke arah kemandirian kewangan GLC negeri, seiring dengan tanggungjawab sosioekonomi dan matlamat komersial masing-masing.

 

“Ini adalah mengenai mengangkat potensi penuh entiti milik kerajaan negeri untuk menjadi institusi bertaraf dunia yang mampu bersaing, menyesuaikan diri dan menyampaikan perkhidmatan dalam landskap ekonomi yang kian berubah,” katanya.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani Perjanjian Khidmat Nasihat Berbayar (RAS) bersama Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Sarawak dan Bank Dunia yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kuching hari ini.

 

Antara agenda utama di bawah kerjasama ini ialah reformasi menyeluruh ke atas Perusahaan Milik Negeri (SOEs) termasuk pengenalan Dasar Pemilikan Syarikat Milik Negeri, Akta khusus untuk SOEs dan Kod Tadbir Urus Korporat untuk SOEs.

 

Katanya, langkah ini dijangka memodenkan kerangka operasi, sekaligus meningkatkan akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan dalam semua entiti milik negeri.

 

Platform Pemantauan e-SOEs Kini Beroperasi Sepenuhnya

 

Dr Wan Lizozman turut mengumumkan Sistem Pemantauan Syarikat Milik Negeri Sarawak (e-SOEs) kini beroperasi sepenuhnya, menyediakan pangkalan data pusat yang dikemas kini secara langsung dan berterusan bagi menambah baik pemantauan prestasi.

 

“Dengan e-SOEs, pemantauan kini lebih cekap, berasaskan data dan masa nyata, selaras dengan amalan terbaik tadbir urus korporat,” ujarnya.

 

Beliau menambah melalui kerjasama dengan Bank Dunia, Sarawak turut memberi fokus kepada pembinaan kapasiti iaitu pelaburan besar dalam latihan dan peningkatan kemahiran penjawat awam.

 

Selain itu, pemodenan teknologi dan data termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk keputusan berasaskan data dan pembinaan budaya kerja dengan menanam nilai integriti dan akauntabiliti dalam perkhidmatan awam.

 

 

 

 

 

 

 

Dr Wan Lizozman menegaskan Perjanjian Khidmat Nasihat Berbayar bersama Bank Dunia ini akan menjadi pemangkin kepada pencapaian Sarawak sebagai contoh pengurusan kewangan awam bertaraf dunia, selaras dengan status negeri berpendapatan tinggi dan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030).

 

“Ini bukan sahaja mengenai sistem, tetapi juga budaya. RAS ini adalah asas kepada satu sistem di mana institusi kita lebih tahan lasak, sumber diurus dengan integriti dan kemajuan diukur melalui impak jangka panjang,” tambah beliau. - DagangNews.com