KUALA LUMPUR 29 Sept – Syarikat milik penuh kerajaan negeri Sarawak, SMD Semiconductor Sdn Bhd mencatat pencapaian penting dalam pembangunan produk semikonduktor apabila melancarkan teknologi keteq.GaN berasaskan Gallium Nitride (GaN).
Kejayaan itu menjadikannya produk semikonduktor sebatian pertama yang direka dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tersebut.
Pelancaran rasmi disempurnakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semasa Persidangan Microelectronics UK yang berlangsung di Excel London Conference Centre, United Kingdom baru-baru ini.
Berucap pada majlis itu Abang Johari berkata, kejayaan ini membuka lembaran baharu dalam kaedah penyimpanan data dan penyelesaian untuk keperluan data yang semakin meningkat.
"Teknologi keteq.GaN mampu menahan suhu tinggi dan membolehkan penyimpanan data yang lebih cekap tenaga pada wafer,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian itu menandakan kemajuan besar dalam pelaksanaan Sarawak Semiconductor Roadmap 2030, sekaligus menempatkan Sarawak dalam kelompok kompetitif dalam industri semikonduktor global.

Teknologi Gallium Nitride High-Electron-Mobility Transistor (GaN HEMT) yang digabungkan dengan keteq.ai bakal merevolusikan sistem penukaran tenaga pintar dengan penukaran kuasa lebih pantas, cekap dan reka bentuk lebih padat.
GaN, sebagai semikonduktor jalur lebar (wide bandgap semiconductor), terkenal dengan kecekapan tinggi serta ketahanannya dalam aplikasi elektronik kuasa dan optoelektronik — menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan dalam penyelesaian tenaga masa depan.
Projek ini turut membabitkan kerjasama strategik dengan beberapa rakan teknologi antarabangsa, termasuk XFAB Germany, Cambridge Microelectronics dan Compound Semiconductor Applications Catapult (CSA Catapult), UK.
SMD Semiconductor kini menjadi antara peneraju utama dalam reka bentuk cip bersepadu (IC) dan juga Reduced Instruction Set Computer-V (RISC-V) — sebuah seni bina terbuka yang semakin mendapat perhatian dalam industri global.
Pelancaran keteq.GaN sekaligus membuktikan keupayaan Sarawak untuk bergerak daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada ekonomi berteknologi tinggi, seiring dengan visi digital dan tenaga mampan negeri itu.
Sementara itu Abang Johari dalam satu majlis berasingan memberitahu Sarawak mempunyai kelebihan berkaitan bahan asas Gallium yang digunakan dalam penghasilan cip tersebut.
"Gallium ini adalah bahan yang lebih tahan daripada silikon dan kita ada raw material itu. Tak perlu saya jelas lanjut, sampai masa saya jelaskan. Kita (Sarawak) ada kelebihan," katanya. - DagangNews.com








