Sarawak catat lebihan dagangan RM16.8 bilion pada 1Q 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak catat lebihan dagangan RM16.8 bilion pada 1Q 2025

KUCHING 4 Julai – Sarawak mencatat lebihan dagangan sebanyak RM16.8 bilion pada suku pertama 2025, sekali gus mengekalkan momentum ekonomi yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan global, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

 

Memetik angka rasmi, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata, eksport negeri itu pada tahun 2024 meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada RM133.8 bilion, didorong oleh komoditi utama seperti gas asli cecair (LNG), petroleum mentah dan minyak sawit mentah.

 

Beliau berkata import Sarawak meningkat 3.1 peratus kepada RM64.5 bilion, manakala lebihan dagangan negeri itu berkembang sebanyak 1.5 peratus kepada RM69.3 bilion.

 

“Berasaskan pencapaian ini, suku pertama 2025 terus mencatatkan prestasi kukuh dengan lebihan dagangan sebanyak RM16.8 bilion, mencerminkan momentum berterusan Sarawak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Perasmian Hari Eksport Sarawak 2025 di Kuching, baru-baru ini.

 

Acara tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (Mintred) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

 

Menurut Awang Tengah, prestasi dagangan Sarawak terus menjadi tunjang utama pertumbuhan ekonomi negeri, membuktikan ketahanan di sebalik persekitaran global yang mencabar.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk merancakkan transformasi ekonomi dengan beralih daripada eksport komoditi mentah kepada produk berasaskan nilai tambah, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030.

 

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik bersama agensi perdagangan dan pemain industri bagi membuka akses ke pasaran serantau dan global.

 

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai pejabat perdagangan di Singapura dan Brunei, selain bakal membuka sebuah lagi pejabat perdagangan baharu di Pontianak dalam usaha memperkukuh hubungan serantau.

 

“Kita sedang membina asas untuk sektor pembuatan berteknologi tinggi, inisiatif ekonomi hijau serta eksport berasaskan digital. Hasrat kita adalah untuk menjadikan Sarawak sebuah ekonomi sedia eksport yang inovatif, inklusif dan mampan.

 

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia menyokong para pengeksport besar mahupun perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi agensi seperti Mintred, Matrade dan SME Corp Malaysia,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah memaklumkan bahawa sejak 2021, skim subsidi faedah telah memanfaatkan lebih 3,300 PMKS dengan jumlah subsidi sebanyak RM75.5 juta, manakala kira-kira 178,000 usahawan telah menerima bantuan kewangan berjumlah RM3.3 bilion.

 

Beliau turut menggesa para usahawan Sarawak untuk mengguna pakai pendigitalan dan amalan mampan bagi kekal berdaya saing dalam landskap pasaran global yang kian berubah.

 

“Kita kaya dengan sumber asli, namun itu sahaja tidak mencukupi. Kita perlu membekalkan rakyat dan industri dengan pengetahuan, kemahiran dan inovasi bagi membina Sarawak yang bersedia untuk masa depan.

 

“Pembeli masa kini bukan hanya menilai dari segi harga dan kualiti, malah turut mengambil kira aspek kelestarian. Pengeksport kita perlu memenuhi piawaian antarabangsa dan mengamalkan amalan yang bertanggungjawab,” ujarnya.

 

Dalam ucapan penutupnya, Awang Tengah menyeru para pengeksport untuk meneroka pasaran baharu di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin bagi mempelbagaikan rakan dagangan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

 

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh; Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta pegawai-pegawai lain.

 

Hari Eksport Sarawak 2025 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasa perniagaan tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam perdagangan global, selain menjadi platform jaringan dan perkongsian ilmu antara pemain industri, penggubal dasar dan pakar perdagangan. - DagangNews.com