KUALA LUMPUR 16 Jan – Sarawak mencatat sebanyak 4.97 juta kehadiran pelancong yang menjana sebanyak RM12.6 bilion sumbangan ekonomi sepanjang tahun 2025, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata jumlah itu hampir mencapai sasaran awal yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu sebanyak 5 juta pelancong sepanjang tahun lalu.
“Walaupun hanya tertinggal 28,800 pelancong untuk mencapai sasaran 5 juta, kita gembira kerana jumlah itu adalah pencapaian tertinggi yang pernah diraih Sarawak dalam sektor pelancongan,” katanya.
Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan peminat alam semujadi ialah Taman Negara Bako, Gunung Santubong, Taman Negara Gunung Mulu selain keunikan makanan, budaya dan warisan Sarawak.
Sektor pelancongan turut merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan terutama kepada industri perhotelan, restoran, inap desa dan perniagaan kecil-kecilan.
Tambahnya, industri pelancongan Sarawak dilihat berada pada landasan kukuh kerana pertumbuhan hasil tidak hanya memberi manfaat kepada pemain industri, malah menyumbang kepada hasil kerajaan melalui kutipan cukai.
Ditanya mengenai sasaran 2026, beliau berkata Sarawak masih mengekalkan sasaran 5 juta pelancong yang diyakini boleh dicapai susulan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Antara pelancong terbesar ke Sarawak ialah dari Brunei serta Indonesia susulan akses udara dan darat yang mantap.
“Kerajaan Sarawak akan memperkasakan promosi pelancongan untuk memastikan sasaran jumlah pelancong tercapai serta impaknya dinikmati rakyat pelbagai lapisan,” katanya. - DagangNews.com








