SARA: Golongan bujang lega, bantuan ringankan kos sara hidup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SARA: Golongan bujang lega, bantuan ringankan kos sara hidup

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 16 Jan – Seramai 3.1 juta penerima kategori bujang yang layak mula menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini sebagai sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

 

Penerima bantuan berkenaan yang ditemubual DagangNews menyifatkan bantuan berkenaan sebagai tepat pada masanya dan memberi kelegaan ketara kepada isi rumah berpendapatan rendah termasuk golongan bujang.

 

Aidid

Muhammad Aidid Izzudin Asri

 

Kakitangan awam di Kuala Lumpur, Muhammad Aidid Izzudin Asri, 25, berkata, SARA Bulanan banyak membantu golongan bujang di bandar menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.

 

 

 

 

 

 

“SARA Bulanan ini mampu membantu golongan bujang dan berpendapatan rendah di bandar menguruskan kos sara hidup. Ia memberi limpahan kebaikan kepada bujang seperti saya dan merupakan bantuan yang tepat dalam meringankan beban golongan B40, terutama penduduk bandar,” katanya.

 

irfan jamil

Muhammad Irfan Muhammad Jamil

 

Di Perlis, seorang pekerja kilang dimsum, Muhammad Irfan Muhammad Jamil berkata, beliau pada awalnya sekadar membuat semakan kelayakan di portal SARA tanpa meletakkan harapan tinggi.

 

“Saya cuma buat semakan sama ada bantuan sudah dikreditkan atau belum, dan tidak sangka terdapat baki RM100 telah dimasukkan ke dalam MyKad saya. Saya bersyukur kerana terpilih sebagai penerima,” katanya.

 

Adam Azaman

Muhammad Adam Azaman

 

Sementara itu di Kulim, seorang juruteknik, Muhammad Adam Azaman, 25, berkata bantuan tersebut memberikan kelegaan segera untuk perbelanjaan harian.

 

“Bantuan ini buat saya rasa lega dan seronok untuk membeli barangan dapur. Sekurang-kurangnya ia meringankan sedikit beban saya,” katanya.

 

Semakan Menggunakan MyKad

 

Program SARA memberi manfaat kepada individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun mengikut dua kategori bantuan.

 

Bantuan bulanan RM50 diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah manakala bagi yang tersenarai sebagai penerima eKasih memperoleh RM100.

 

Bantuan itu dikreditkan sebantuan SARA bermula cara terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan di pasar raya atau kedai rakan niaga terpilih yang berdaftar dengan MOF.

 

Golongan bujang yang menikmati bantuan itu  boleh membuat semakan baki di semua premis tersebut dengan hanya menggunakan MyKad.

 

Liyana
Noor Liana Syam Suhadda

 

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi seorang suri rumah di Shah Alam, Noor Liana Syam Suhadda Md Sam, 37, yang berkata bantuan itu memberi manfaat besar kepada suri rumah sepertinya.

 

“Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan asas seperti beras, telur dan keperluan harian lain. Ia sangat melegakan, lebih-lebih lagi selepas saya berbelanja lebih RM500 untuk kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya.

 

zayati
Zaihayati Abdul Hamid

 

Seorang lagi penerima, Zaihayati Abdul Hamid, 28, berkata bantuan tersebut amat bermakna kepada golongan bujang yang tinggal dan bekerja di bandar besar.

 

“Saya bersyukur dengan bantuan bulanan RM50 ini kerana ia dapat mengurangkan beban ibu bapa di kampung. Usaha kerajaan ini memang membantu meringankan perbelanjaan kami di bandar,” katanya.

 

Beliau yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan kini menetap di Bangi, Selangor, berkata, SARA yang dikreditkan terus ke MyKad turut menawarkan fleksibiliti kerana boleh digunakan untuk berbelanja dalam 14 kategori barangan asas di lebih 7,300 kedai di seluruh negara.

 

Lambang Keprihatinan Kerajaan

 

syikin

Norasyikin Ahmad

 

Seorang lagi penerima, Norasyikin Ahmad, 26, berkata bantuan tersebut akan dimanfaatkan sebaiknya untuk membeli barangan dapur setiap bulan.

 

“Meskipun nilainya hanya RM50 sebulan, ia tetap perlu disyukuri kerana membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat pelbagai lapisan umur, termasuk golongan bujang,” katanya.

 

Anak jati Muar, Johor itu berkata dalam tempoh setahun, jumlah bantuan tersebut mencecah RM600, yang disifatkannya sebagai satu permulaan baik dalam usaha kerajaan menyantuni rakyat.

 

“Impaknya juga bagus untuk kitaran ekonomi negara, terutama kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan. Program ini wajar diteruskan dan saya yakin jumlahnya boleh ditambah mengikut kemampuan kewangan negara,” katanya.

 

wan
Wan Zurafifah Wan Zulkifli

 

Senada dengan beliau ialah Wan Zurafifah Wan Zulkifli, 28 yang menyifatkan bantuan itu sangat tepat pada masanya memandangkan bantuan kewangan sebelum ini lebih banyak disalurkan untuk mereka yang telah berkeluarga sahaja.

 

"Nilai bantuan itu sangat subjektif. Sedikit atau banyak jumlah yang diberi tidak signifikan kerana apa yang penting ialah kami turut merasai pemberian kerajaan dan tidak lagi rasa 'terpinggir' sebagai golongan bujang," katanya.

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, Wan Zurafifah berharap SARA untuk golongan bujang ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan lagi kepada semua golongan bujang termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

 

Program SARA merupakan sebahagian daripada inisiatif Payung Rahmah di bawah Kementerian Kewangan, yang bertujuan memastikan golongan B40 terus mendapat akses kepada keperluan asas tanpa beban kewangan yang berat, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara. - DagangNews.com