KUALA LUMPUR 2 Ogos – Sapura Energy Bhd secara rasmi menukar nama kepada Vantris Energy Bhd, penjenamaan semula yang berkuat kuasa berikutan kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada Rabu.
Penjenamaan semula ini bertepatan dengan pelaksanaan pelan regularisasi yang telah lama dinantikan oleh penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu yang mengalami masalah kewangan, bertujuan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Pelan regularisasi tersebut, yang telah diluluskan oleh Bursa Malaysia pada Jun lalu, turut mendapat kelulusan pemegang saham dalam satu lagi EGM pada hari yang sama.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah mengeluarkan Sijil Pemerbadanan Pertukaran Nama Syarikat pada hari ini, yang secara rasmi mengesahkan identiti korporat baharu syarikat itu, kata Vantris Energy.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, nama baharu itu melambangkan permulaan baharu buat syarikat.
“Ia menandakan bab baharu buat syarikat kami, menghormati perjalanan kami, dan mewakili kepercayaan yang ingin kami bina semula bersama para pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Di bawah pelan regularisasi tersebut, Vantris Energy akan melaksanakan pengurangan modal sebanyak 99.99% bagi mengimbangi kerugian terkumpul, selain pelaksanaan penyatuan saham pada kadar 20 kepada satu.

Penstrukturan semula hutang syarikat akan mengurangkan jumlah pinjaman daripada RM10.8 bilion kepada kira-kira RM5.6 bilion, sekali gus mengurangkan perbelanjaan faedah tahunan lebih RM500 juta atau sekitar 60%.
“Langkah pengurangan beban hutang yang signifikan ini membolehkan syarikat kembali mencatat keuntungan dan membina semula keyakinan pelanggan serta institusi kewangan,” jelas Vantris Energy.
Kementerian Kewangan, menerusi Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH), akan melanggan sehingga RM1.1 bilion dalam bentuk stok pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS). Hasil langganan ini telah diperuntukkan untuk menyelesaikan tunggakan pembayaran kepada vendor minyak dan gas tempatan.
Para pemegang saham turut meluluskan pengecualian yang membenarkan MDH dan pihak yang bertindak bersama dengannya untuk tidak mencetuskan tawaran am mandatori sekiranya RCLS ditukar sepenuhnya, kerana ia boleh menjadikan mereka pemegang saham tunggal terbesar dengan pegangan melebihi 33%, sekali gus mengatasi Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang pegangan sahamnya boleh mengecil kepada sedikit melebihi 5% daripada 40.43% ketika ini.
Kumpulan itu merancang melaksanakan pelan regularisasi secara berperingkat dengan matlamat keluar daripada status PN17 selepas mencatat keuntungan selama dua suku berturut-turut.
“Kami amat terharu dengan mandat kukuh daripada para pemegang saham. Kami juga gembira kerana pemegang saham telah menggunakan hak mereka secara aktif dan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan syarikat. Dengan kelulusan ini, Vantris Energy kini berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk mara ke hadapan dengan fokus, kekuatan kewangan dan tujuan yang diperbaharui,” tambah Zamri.
Sapura Energy, yang dahulunya merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas terkemuka di rantau ini, telah diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 sejak 2022 susulan masalah kewangan. Pelan pemulihannya yang dibimbing oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd selaku penasihat utama, sedang diperhatikan rapat oleh pasaran dan pihak berkepentingan utama.
Penstrukturan semula ini juga berlangsung di tengah-tengah kemelut keluarga yang sedang berlaku dalam kalangan pemegang saham Sapura Holdings — Datuk Shahriman Shamsuddin dan abangnya Tan Sri Shahril Shamsuddin — yang bersama-sama menguasai pegangan kedua terbesar dalam kumpulan itu sebanyak 9.18%.
Pada 25 Jun lalu, Shahriman telah meletak jawatan sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif Sapura Energy, dengan alasan komitmen lain.
Saham syarikat ditutup tidak berubah pada empat sen pada Jumaat, dengan modal pasaran sebanyak RM735.04 juta. - DagangNews.com








