KUALA LUMPUR 19 Jan — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) mendesak akses lebih adil dalam perluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tanpa banyak kerenah birokrasi.
Presidennya, Datuk William Ng menegaskan kerajaan wajar memastikan inisiatif itu turut dapat memberi limpahan manfaat kepada peruncit dari kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Bagaimanapun, beliau menyambut baik langkah kerajaan mula memperluaskan rangkaian peruncitan SARA kepada kira-kira 10,000 premis menjelang akhir 2026 berbanding 3,000 premis sebelum ini.
"Ini merupakan langkah kritikal bagi memastikan peruntukan SARA sebanyak RM8 bilion benar-benar berfungsi sebagai jaringan keselamatan kepada sejumlah 8.1 juta penerima," katanya dalam kenyataan.
Tambah Ng, usaha perluasan itu turut menyalurkan kecairan tunai segera kepada peruncit PMKS, kerana bilangan premis yang terhad memberi kelebihan luar biasa kepada segelintir rangkaian peruncitan.
Walaupun objektif SARA adalah meringankan beban golongan berpendapatan rendah, wujud persepsi yang manfaat ekonomi skala tidak dirasai pengguna kerana banyak harga barang kekal pada paras siling.
Dengan peningkatan premis, bantuan kerajaan itu dapat mengalir terus kepada peruncit PMKS, sekali gus membantu mereka menyertai ekonomi digital melalui sistem tanpa tunai berasaskan MyKad.
"Samenta turut mengingatkan kerajaan yang 2026 merupakan ‘tahun kelangsungan’ untuk kebanyakan PMKS di Malaysia, susulan peningkatan kos pematuhan dan operasi dalam pelbagai aspek," jelas Ng.
Justeru, penyertaan dalam program SARA dilihat sebagai penampan hasil yang amat diperlukan, dengan kesan pengganda kepada rantaian bekalan termasuk pemborong tempatan dan penyedia logistik.
Beliau namun menggesa Kementerian Kewangan dan Yayasan MyKasih memastikan proses pendaftaran 7,000 premis tambahan dilaksanakan secara lancar, serta meminta ada sokongan teknikal untuk peniaga.
Antaranya, jelas Ng, bimbingan khusus kepada pemilik kedai warga emas atau kurang mahir teknologi, selain mempercepatkan proses pembayaran balik bagi mengekalkan aliran tunai peruncit tersebut.
"Samenta menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kompetitif, inklusif dan adil untuk semua," tambah beliau. - DagangNews.com








