Saham SBS Nexus dibuka mendatar 25 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham SBS Nexus dibuka mendatar 25 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan – Saham SBS Nexus Bhd dibuka mendatar pada harga tawaran awam permulaan (IPO) iaitu 25 sen pada penampilan sulungnya di  Pasaran ACE Bursa Malaysia pagi ini. 

 

Setakat jam 9.50 pagi, syarikat penjenamaan dan pemasaran itu mencatatkan modal pasaran kira-kira RM117.6 juta. 

 

Kumpulan itu menerima sebanyak 5,579 permohonan daripada orang ramai untuk 570,279,800 saham baharu bernilai RM142.6 juta. 

 

Saham yang diperuntukkan kepada orang ramai adalah 24,500,000 unit sahaja, menjadikan kadar terlebih langganan ialah 22.28 kali. 

 

Untuk bahagian Bumiputera pula, sebanyak 3,018 permohonan diterima untuk 298,635,900 saham baharu, mewakili kadar terlebih langgan 23.38 kali manakala bahagian awam menerima 2,561 permohonan untuk 271,643,900 saham baharu dengan kadar langganan 21.18 kali.

 

Bagi pemohon yang layak, sebanyak 17,150,000 saham baharu telah habis dilanggan manakala semua 61,250,000 saham sedia ada yang diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI turut habis dilanggan sepenuhnya.

 

Selain itu, sebanyak 68,600,000 saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian turut habis dilanggan.

.

Melalui penyenaraian ini, SBS Nexus berjaya mengumpul RM30.6 juta daripada hasil IPO yang akan digunakan terutamanya untuk pengembangan perniagaan dan keperluan modal kerja. 

 

SBS Nexus terlibat dalam perkhidmatan penjenamaan dan pemasaran, termasuk penciptaan kandungan dan iklan papan iklan digital. 

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat tunggal, penaja, penjamin dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com