Saham Kitacon dilihat menarik didorong kontrak baharu RM86.6 juta - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Kitacon dilihat menarik didorong kontrak baharu RM86.6 juta - CGS International

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 29 Okt - Firma penyelidikan CGS International (CGSI) menyifatkan saham Kitacom sebagai peluang pelaburan menarik bagi pelabur kerana ia diniagakan pada 6.6x CY25F P/E, lebih rendah berbanding purata sektor 19x.

 

CGSI mengekalkan cadangan TAMBAH untuk saham Kitacon, dengan sasaran harga RM1.43/seunit berdasarkan model GGM. 

 

Menurut firma tersebut, kemenangan kontrak terbaru pembangunan eksklusif Senja di Seri Kembangan menjadikan jumlah kontrak Kitacon YTD FY25F kini RM750 juta, selari dengan sasaran RM1 bilion bagi FY25F.

 

Tempahan projek pula masih kukuh pada RM1.3 bilion, manakala buku tender berada pada RM1.26 bilion, termasuk pelanggan utama seperti Sime Darby Property dan SP Setia.

 

"CGSI menjangkakan kontrak baharu ini boleh menjadi pemangkin harga saham, dengan margin dijangka selari dengan prestasi terdahulu (14.6-15.6% GP margin bagi 4Q24-2Q25)," kata firma itu.

 

Kontrak Senja membabitkan pembangunan kediaman bernilai RM86.6 juta diperolehi daripada Earth Pavillion Sdn Bhd, subsidiari Bandar Raya Developments Berhad (BRDB).

 

Kontrak ini melibatkan 81 unit kediaman, termasuk rumah semi-D tiga tingkat, rumah zero-lot tiga tingkat, serta banglo tiga tingkat dengan separuh ruang bawah tanah. 

 

Projek ini dijadualkan bermula 1 November 2025 dan dijangka siap sepenuhnya November 2027, mengambil masa 24 bulan.

 

Menurut CGSI, penglibatan Kitacon dalam projek mewah seperti Senja mengekalkan reputasinya sebagai kontraktor berpengalaman dalam projek hartanah premium, sementara risiko pembayaran adalah minimum memandangkan BRDB telah menyelesaikan beberapa projek mewah terdahulu seperti Bangsar Shopping Centre, Serai, dan One Menerung. - DagangNews.com